455 individu ingkar arahan PKP

KUALA LUMPUR 21 Nov. – Seramai 455 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam dan daripada jumlah itu 427 individu dikompaun, 27 direman dan seorang dijamin selepas ingkar arahan PKP.

Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata, kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (206) dan aktiviti pusat hiburan (72) dan tidak memakai pelitup muka (63).

“Kesalahan lain adalah gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (59), rentas negeri/daerah PKPB tanpa kebenaran (21) dan lain-lain (34),” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.

Mengenai Op Benteng, sebanyak 28 pendatanng asing tanpa izin (PATI) yang cuba memasuki sempadan negara ditahan.

Beliau juga memberitahu, sejak 24 Julai sehingga 20 November 2020, seramai 72,062 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua telah ditempatkan di 72 Hotel dan 19 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta.

“Ia terletak di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan. Seramai 61,262 individu telah dibenarkan pulang,” katanya.

Katanya lagi, 404 individu telah dihantar ke hospital manakala 10,396 individu sedang menjalani kuarantin wajib.

Related posts

Leave a Comment