Tiada lagi senyuman dan sapaan mesra seorang sahabat

PAGI ini 17 November 2020,  menerima perkhabaran duka mengenai pemergian dua orang bekas warga kerja Kumpulan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad. Seorang dari Jabatan Pengeluaran Bangi dan seorang dari Jabatan Pengarang.

Khabar pertama, Mohd Riza Osman meninggal dunia pukul 6.45 pagi selepas sesak nafas di rumahnya di Bandar Tasek Kesuma, Semenyih disusuli berita Dato Baharom Mahusin pergi buat selamanya di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), pukul 7.23 pagi  akibat jangkitan kuman dalam darah.

Untuk rekod, kedua-duanya adalah antara lebih 700 bekas kakitangan yang memilih skim pemberhentian sukarela (VSS) yang masih menunggu pampasan.

Saya tidak berapa mengenali Mohd Riza kerana arwah bertugas di kilang cetak Utusan Bangi. Bagaimanapun kami tetap keluarga besar Utusan, yang sama-sama mencari rezeki di Utusan.

Baharom Mahusin (BM), 54 pula adalah rakan sekerja di Jabatan Pengarang. Kami sama-sama di meja berita sehinggalah kemudiannya diberi jawatan dan kepercayaan syarikat untuk  berada di kedudukan yang lebih baik.

Sepanjang pagi ini, banyak kisah yang ditulis mengenai Allahyarham. Tidak perlu saya ulang lagi. Cukuplah saya katakan untuk mengenali BM bacalah tulisan mereka yang pernah bekerja bersama atau berurusan dengan Allahyarham.

Kami sama-sama di Utusan sejak era Allahyarham Zam sebagai Ketua Pengarang. Allahyarham pernah menjadi wakil Utusan di London. Selepas di meja berita, walaupun  sebumbung kami tidak pernah ‘semeja’ tetapi sama-sama menyumbang kepada produk Utusan Malaysia (UM), Mingguan Malaysia (MM) dan majalah MASSA.

Ketika saya mengetuai MASSA, Allahyarham adalah  kolumnis yang menyumbang tulisan isu-isu semasa melalui ruangan KHABAR TANAH AIR. Seperti kata sahabat saya Ku Seman Ku Hussain, Allahyarham amat teliti.

Dengan ketelitian itu juga, kadang-kadang boleh menyulitkan tetapi itu sudah menjadi lumrah atau ‘asam garam’ bagi mereka yang benar-benar mahu memastikan produk yang dihasilkan itu dalam keadaan sempurna..

Apabila saya dipanggil balik ke ibu pejabat untuk menyertai MM, Allahyarham pula diberi tugas di MASSA. Kemudian kami kembali sebumbung apabila Allahyarham bersama Kosmo! dan saya di Utusan Malaysia.

Sebagai orang yang mengetuai produk, sudah pastilah kami sentiasa menghadiri mesyuarat yang membincangkan hal-hal berkaitan penerbitan masing-masing..

Arwah seorang yang baik. Ketika bercakap tidak pernah meninggi suara. Sentiasa memberi senyuman. Kalau marah pun biasalah ketika di dalam mesyuarat yang tujuannya tidak lain adalah untuk kebaikan produk yang dihasilkan.

Banyak program yang kami sertai dan hadir bersama kerana masing-masing mewakili produk kami UM/MM dan Kosmo!

Saya dan arwah juga bersama-sama hadir di Istana Pahang untuk menerima pingat kebesaran Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) oleh Sultan Pahang yang ketika itu diwakili Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Kami juga bersama-sama menunaikan ibadah haji dan tinggal di maktab yang sama di tanah suci Makkah.

Selepas mengambil skim pemberhentian sukarela (VSS), masing-masing membawa diri tetapi kami sering  berjumpa untuk membincangkan mengenai pampasan yang sepatutnya diterima oleh warga kerja Utusan yang memilih VSS.

Kali terakhir kami berjumpa adalah pada 15 September di PJ Club Petaling Jaya.

Melalui WhatsApp, kali terakhir pada 1 November sejurus selepas arwah ‘left’ satu grup yang saya ada bersama di dalamnya.

Selepas arwah left hampir pukul 9 pagi itu, saya menghantar simbol ‘senyum’ dan 15 minit kemudian arwah membalas melalui WhatsApp. Katanya …Dato Hassan, malaslah nak baca komen-komen….

Saya faham maksudnya. Ada rasa kecewa di situ dan menambah lagi “Baik kita fokus kepada kehidupan yang positif di luar…..”.

Petang itu khabarnya arwah dimasukkan ke hospital. dan selepas dua minggu terlantar, pagi ini diberitakan meninggal dunia disebabkan pelbagai komplikasi akibat jangkitan kuman dalam darah.

Rupanya tindakan left grup pada pagi itu bagaikan petanda awal Allahyarham akan  meninggalkan grup itu buat selama-lamanya, tiada sesiapa lagi yang mampu ‘memujuk dan membawanya’ kembali untuk meneruskan perjuangan.

Begitulah perjalanan seorang sahabat dalam dunia kewartawanan. Selamat jalan sahabat.

“Ya Allah! Ampunilah dan rahmatilah dia, lepaskanlah dia daripada apa-apa yang tidak disukainya dan maafkanlah dia, muliakanlah keadaannya dan luaskan kuburnya. Mandikanlah dia dengan air, salji dan air yang dingin. Bersihkanlah dia daripada segala kesalahan sebagaimana dibersihkan baju yang putih daripada segala kekotoran. Gantikanlah rumahnya yang lebih baiki daripada rumahnya, keluarga yang lebih baik daripada keluarganya dan pasangan yang lebih baik daripada pasangannya,”

Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT serta ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan para solihin. AlFatihah.

FOTO

Istiadat kurniaan darjah kebesaran Pahang

Iftar bersama TPM di Utusan

Majlis berkaitan usahawan desa Ismail Sabri

Bersama di khemah Mina pada musim haji

Majlis penghargaan media SPRM

Related posts

Leave a Comment