Jumlah kes hampir 50,000

PUTRAJAYA 17 Nov. – Sebanyak 1,210 jangkitan baharu direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 ketika ini 49,730 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata negeri di sekitar Lembah Klang merekodkan 518 kes positif baharu.

Daripada jumlah ini, sebanyak 435 kes (84.0 peratus) adalah daripada kluster-kluster di mana 206 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah daripada Kluster Tapak Bina Damanlela yang melibatkan bukan warganegara.

Sebanyak 142 kes (52.4 peratus) yang dilaporkan di Selangor pula adalah daripada Kluster Teratai yang melibatkan 131 (92.3 peratus) bukan warganegara.

Kedua-dua kluster ini merupakan kluster yang melibatkan tempat kerja,” katanya dalam kenyataan media berhubung perkembangan Covid-19 pada Selasa.

Katanya lagi, Sabah pula merekodkan 499 kes baharu.

Sebanyak 122 kes (24.4 peratus) dilaporkan daripada Kluster Penjara Sandakan (122 kes) manakala 106 kes (21.2 peratus) pula adalah daripada kluster baharu iaitu Kluster Avenue.

Sebanyak 172 kes (14.2 peratus) yang dilaporkan pada hari ini adalah berkaitan kluster-kluster di penjara. Ini melibatkan Kluster Penjara Sandakan (122 kes), Kluster Tembok (20 kes), Kluster Penjara Kepayan (16 kes), dan Kluster Penjara Seberang Perai (14 kes).

Sementara itu, beliau berkata, daripada 1,210 kes baharu hari ini, terdapat 19 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara yang melibatkan lima warganegara dan 14 bukan warganegara.

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 kini terdapat sebanyak 13,806 kes.

Beliau berkata jumlah kes yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) setakat ini ialah sebanyak 105 dan daripada jumlah itu, 40 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.

Katanya, 1,018 kes telah pulih sepenuhnya menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih sebanyak 36,624 kes yang bersamaan dengan 73.6 peratus.

Dalam tempoh 24 jam juga, beliau lima kes kematian baharu direkodkan menjadikan angka keseluruhan kes kematian di negara menjadi sebanyak 318 kes (0.64 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Related posts

Leave a Comment