PKPD : 4 tamat satu bermula

KUALA LUMPUR 16 Nov. – Empat lokaliti yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ditamatkan hari ini sementara satu kawasan baharu dikenakan perintah itu mulai esok.

Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata, empat lokaliti itu ialah Pusat Tahanan Sementara (PTS) Kota Kinabalu, Penjara Kepayan, Kuarters Penjara Taman Mat Salleh Kampung Matambai di Sabah dan Institut Latihan KKM di Johor.

Penamatan itu dibuat selepas kes Covid-19 di kawasan itu terkawal tetapi kesemua penduduk di lokaliti ini masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di negeri itu.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan sebanyak 1,824 saringan di PTS Kota Kinabalu dan merekodkan 425 kes positif Covid-19 manakala 3,970 saringan di Penjara Kepayan dan merekodkan 1,857 kes positif.

Sehingga 14 November 2020, bilangan kes adalah terkawal dengan hanya terdapat 25 kes aktif di PTS Kota Kinabalu dan satu kes aktif di Penjara Kepayan dan kesemuanya telah menerima rawatan.

KKM juga telah melaksanakan sebanyak 1,291 saringan dan secara kumulatif telah merekodkan sebanyak 33 kes positif di Institut Latihan KKM di Johor Bahru.

Kes positif terakhir dilaporkan adalah pada 10 November 2020. Sehingga 14 November 2020, KKM memaklumkan kesemua keputusan sampel saringan telah diperolehi dan bilangan kes adalah terkawal.

Sementara itu susulan 215 kes positif Covid-19 dikesan di asrama pekerja Top Glove di Klang sehingga 15 November, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKPD di kawasan itu.berkuatkuasa Selasa, 17 November dan tamat 30 November 2020.

Pelaksanaan PKPD ini membabitkan kawasan asrama lelaki serta Jalan Abadi 1A/KU8, asrama pekerja wanita serta Jalan Abadi 1A dan Jalan Abadi 10A/KU8 yang melibatkan seramai 13,190 pekerja dan hampir 1,200 penduduk.

Pelaksanaan ini bagi membolehkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus melaksanakan saringan bersasar kepada pekerja dan penduduk di kawasan itu.

Syarikat tersebut juga perlu melakukan saringan sepenuhnya kepada semua pekerja di kilang dan asrama yang membekalkan pekerja ke kilang berkenaan.

Mengenai pasukan petugas operasi pematuhan, Ismail Sabri berkata seramai 463 individu ditahan kerana ingkar arahan PKP semalam, dan daripada jumlah itu, 427 individu dikompaun manakala 36 direman.

Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal mematuhi penjarakan fizikal (173), tidak memakai pelitup muka (67), aktiviti perjudian (51), rentas daerah atau negeri PKPB tanpa kebenaran (50), gagal menyediakan peralatan dan merekod butiran diri (31) dan aktiviti di pusat hiburan (29).

Related posts

Leave a Comment