1,103 kes baharu, 4 kematian

PUTRAJAYA 16 Nov. – Kes baharu Covid-19 yang direkodkan hari ini kekal empat angka iaitu 1,103 kes, menjadikan jumlah kes positif dalam negara sebanyak 48,520, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata dengan perkembangan itu, bilangan kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 ialah 12,601 kes, manakala jumlah kes pulih hari ini adalah 821 menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sebanyak 35,606 kes. 

Menurut Dr Noor Hisham, satu kes daripada 1,103 kes baharu yang direkodkan hari ini merupakan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Katanya, terdapat empat kes kematian Covid-19 hari ini menjadikan jumlah kumulatif kematian di Malaysia akibat wabak itu adalah 313 kes. 

Empat kematian itu membabitkan dua lelaki berusia  46 dan 54 tahun serta dua wanita berusia 73 dan 51 tahun yang kesemuanya dari Sabah.

Mereka menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu dan Hospital Tawau.

Sehingga kini, terdapat 102 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 39 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Related posts

Leave a Comment