Masjid bersejarah terbakar

PRESIDEN Turki Recep Tayyip Erdoğan menyatakan rasa sedihnya berikutan kebakaran sebuah masjid bersejarah abad ke-17 yang diperbuat daripada kayu di Istanbul pada Ahad (15 November).

“Hari ini, kebakaran di Masjid Vanıköy yang bersejarah, salah satu simbol Bosphorus, menyedihkan kita semua,”

“Saya berharap secepat mungkin, kita akan memulihkan masjid kita sesuai dengan tekstur dan asal usulnya, sebagai warisan untuk generasi akan datang.” katanya di Twitter.

Masjid Vanikoy,  dibina pada abad ke-17 semasa pemerintahan Sultan Uthmaniyah keempat Mehmed, terletak di sebelah Asia di Istanbul di Selat Bosporus.

Rakaman video menunjukkan kepulan asap tebal keluar dari struktur masjid.

Melalui Twitter, Jabatan Bomba Istanbul menyatakan kebakaran sudah dipadamkan dan usaha penyejukan bangunan sedang dijalankan.

Pasukan bomba berjaya mengelakkan kebakaran daripada merebak ke sebuah hutan yang terletak di belakang masjid itu dan kawasan perumahan yang terletak di sepanjang Bosporus.

Mereka dibantu oleh para pengawal pantai yang bertungkus lumus memadam api dari bahagian darat dan laut.

Masjid itu diperbuat daripada kayu dengan sebuah menara. Punca kebakaran belum diketahui dan gabenor bandar itu berkata bahawa satu siasatan telah dilancarkan.

Dalam satu kenyataan, Gabenor Istanbul menyatakan, kebakaran itu berlaku sekitar pukul 13:30 petang. (1030 GMT)

Related posts

Leave a Comment