Perluas konsep bebas berniaga

KETIKA Ahli Parlimen Seputeh dari DAP, Teresa Kok hairan dengan program Wilayah Bebas Berniaga, Yayasan Pembangunan Ekonomi Malaysia (YaPEIM) pula menyarankan agar inisiatif itu yang bermula hari ini, Ahad 15 November di kawasan Wilayah Persekutuan diperluaskan konsepnya ke semua negeri.

Pengerusi YaPEIM Mohd Redza Shah Abdul Wahid berkata, inisiatif itu merupakan peluang baik buat warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan untuk membuka gerai atau perniagaan secara kecil-kecilan dan memanfaatkan kebenaran diberikan sebaik mungkin.

“Pelaksanaan seumpama ini seharusnya dilaksanakan di semua negeri di Malaysia, selagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan memastikan kebersihan”, katanya dalam kenyataan.

Baru-baru ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa mengumumkan kebenaran kepada warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, untuk membuka gerai atau perniagaan secara kecil-kecilan di mana-mana kawasan yang sesuai, mulai 15 November.

Peniaga bagaimanapun disyaratkan untuk memohon lesen perniagaan sementara yang sah selama enam bulan di laman web Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang ditawarkan secara percuma.

Sementara itu, Mohd Redza berkata YaPEIM menerusi Ar- Rahnu YaPEIM juga memberikan sokongan dalam bentuk pembiayaan berasaskan emas kepada mereka yang terkesan akibat Covid-19.

“Malah, YaPEIM sentiasa membuka pintu bagi membantu mereka yang terkesan terutamanya kehilangan pendapatan dengan menawarkan platform jualan secara atas talian menerusi CMASA.my sekali gus menjadi pilihan tambahan selain pembukaan gerai.

“YaPEIM berharap agar masyarakat menggunakan peluang diberikan sebaiknya dalam usaha bersama-sama memperkasakan sektor ekonomi khususnya industri tempatan sekali gus melonjak pertumbuhan ekonomi negara amnya,” katanya.

Related posts

Leave a Comment