Haramkan vape sepenuhnya

KUANTAN 18 Nov. – Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyarankan pihak kerajaan mengharamkan rokok elektronik (vape) secara sepenuhnya  yang dianggap merosakkan kesihatan.

Saranan itu dibuat susulan kebimbangan baginda terhadap penyalahgunaan dadah yang semakin meningkat di Pahang terutamanya dalam kalangan belia berdasarkan statistik 11,750 individu yang dipantau oleh Agensi Anti Dadah Kebangsan (AADK).

Titah baginda daripada jumlah itu, Daripada jumlah itu sebanyak 57 peratus melibatkan individu berusia lingkungan 15 hingga 30 tahun dan Pahang menduduki tangga kelima kes penyalahgunaan dadah ini.

Menurut baginda lagi, penyalahgunaan dadah ini antara lain disebabkan daripada merokok dan kini vape.

“Ada beberapa daerah tertentu perlu diberi perhatian, antara sebab mereka terlibat antaranya bermula dengan rokok kemudian vape (rokok elektronik) yang rosakkan kesihatan… saya akan nyatakan kepada pihak kerajaan supaya alat vape ini perlu diharamkan secara total,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Pengurniaan Anugerah Kecemerlangan Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) 2024 di sini hari ini yang menyaksikan seramai 52 orang menerima anugerah masing-masing.

Turut berangkat, Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Panglima Raja Brig Jen Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.

Al-Sultan Abdullah bertitah, semua pihak perlu berganding bahu mengekang penyalahgunaan dadah, dengan ibu bapa mengawasi anak mereka.

“Sudah sampai masanya ibu bapa di Pahang tidak kira anak terlibat atau tidak terlibat, bangkit untuk bantu dengan berilah nasihat sewajarnya… angka berkenaan membimbangkan, saya bimbang jika tidak diawasi mungkin (bilangan penagih) bertambah,” titah baginda.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah bertitah agar kurikulum di semua madrasah dan pondok di negeri ini dapat diselaraskan supaya tiada pelajar ketinggalan dari segi pencapaian akademik.

Justeru, baginda menitahkan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Negeri Pahang (MUIP), Yayasan Pahang, Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) dan Univerisiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) membantu madrasah dan pondok berkenaan.

Baginda turut menzahirkan perasaan kagum dan bangga selain mengucapkan tahniah kepada bekas pelajar MTNP dan guru atas pelbagai kejayaan yang dilakar antaranya muncul sekolah terbaik menerusi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.

Related posts

Leave a Comment