PN sokong Belanjawan 2021

KUALA LUMPUR 10 Nov. – Selepas ‘tiada jaminan’ dan sokongan bersyarat, Perikatan Nasional (PN) tampil dengan kenyataan menyokong dan mempertahankan Belanjawan 2021 berjumlah RM322.5 bilion.

Menurut PN, belanjawan terbesar dalam sejarah negara merupakan manifestasi komitmen serta keprihatinan kerajaan PN untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terbela dalam menghadapi wabak Covid-19.

Semalam, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menegaskan Belanjawan 2021 hanya akan disokong jika ia benar-benar belanjawan untuk membantu rakyat menghadapi pandemik Covid-19 dan mengekang wabak itu.

Hari ini, Najib Razak yang mewakili Kelab Penyokong Barisan Nasional (BN) menyatakan sokongan bersyarat terhadap Belanjawan 2021 dengan menuntut kerajaan membenarkan pengeluaran “one-off” hingga RM10,000 daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selain melanjutkan moratorium.

PN dalam satu kenyataan memaklumkan kerajaan tidak pernah berkompromi dalam usaha melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuh ekonomi.

“Sehubungan itu, gandingan bahu setiap pihak amatlah penting bagi mengekalkan momentum pemulihan ekonomi demi kesejahteraan bersama,” menurut kenyataan itu hari ini.

Kenyataan itu mewakili Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Dr Jeffrey Kitingan dan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Yong Teck Lee.

Kenyataan itu antara lain turut menyebut agar kesemua pihak mendukung titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar mengutamakan rakyat dalam tempoh yang amat mencabar buat negara.

Menurut kenyataan itu lagi, Belanjawan 2021 juga merangkumi lebih RM4.2 bilion untuk mengurangkan beban rakyat, lebih RM4 bilion kepada barisan hadapan dalam memerangi Covid-19, dan RM3 bilion untuk menjana 500,000 pekerjaan.

“Belanjawan 2021 juga merupakan kesinambungan empat pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi yang telah diumumkan kerajaan PN sebelum ini yang bernilai RM305 bilion keseluruhannya,” menurut kenyataan tersebut.

Related posts

Leave a Comment