Bajet JASA elok beli ‘mask’

 

KUALA LUMPUR 10 Nov. – Peruntukan RM85.5 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) ketika negara dan rakyat dihimpit oleh krisis kesihatan hanya akan mengundang kemarahan ramai, tegas Ahli Parlimen Pekan, Najib Tun Razak.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, dalam keadaan sukar ini, keutamaan harus diberikan dalam usaha menangani pandemik Covid-19, bukannya mewujudkan unit atau agensi tertentu yang bermatlamat menerangkan dasar-dasar pentadbiran sedia ada kepada rakyat.

Katanya, peruntukan sebesar itu seharusnya digunakan untuk membeli pelitup muka, cecair pensanitasi atau diberikan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

“Pada zaman krisis ini, di mana peruntukan lebih (diperlukan) untuk selamatkan rakyat, tapi untuk JASA (peruntukan) empat kali ganda berbanding zaman Barisan Nasional (BN) sukar diterima ramai, dan mengundang kemarahan rakyat,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Pembekalan (Belanjawan) 2021, di Dewan Rakyat hari ini.

Najib berkata, beliau boleh menerima sekiranya peruntukan untuk JASA itu juga disalurkan kepada ibu bapa yang tidak mampu menyediakan sarapan yang berkhasiat untuk anak-anak sebagai menggantikan bekalan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) ekoran penutupan sekolah akibat pandemik Covid-19.

Menyifatkan belanjawan kali ini sebagai ‘Belanjawan Perang’, Najib menegaskan, beliau tidak boleh terima cadangan peruntukan sebesar itu untuk JASA dan meminta agar perkara itu dinilai semula oleh Kementerian Kewangan.

Kata Najib, suara rakyat merupakan suara keramat dan perkara yang tidak disenangi rakyat jangan diteruskan oleh kerajaan sedia ada.

Najib juga mengharapkan agar kesemua pihak, terutamanya dari parti-parti politik berhenti menyalahkan satu sama lain, susulan gelombang ketiga Covid-19 di negara ini.

Ujarnya, BN sedar ada pihak yang menyalahkan parti itu kerana cuba mendapatkan kembali Sabah dari Parti Warisan Sabah, sehingga tercetusnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan seterusnya menyebabkan penularan kembali mendadak sehingga ke Semenanjung.

“Pihak sebelah sana perlu ingat, Semporna (Mohd Shafie Apdal) sebut sanggup mati dengan adakan PRN banding serah kembali kuasa. Dan Lahad Datu (Mohamadin Ketapi) kata jangan takut Covid-19, ia hanyalah propaganda kerajaan Pusat, kes jadi kosong selepas PRN tamat

“Kita juga tidak lupa bahawa pihak lain sebulat suara sokong Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubar dan PRN Sabah diadakan. BN yang bantah DUN dibubarkan, sehingga kita mohon tiga kali di mahkamah hentikan PRN,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Najib sekali lagi menggesa agar dihentikan polemik tersebut dan berganding usaha memastikan negara kembali pulih daripada krisis tersebut.

Related posts

Leave a Comment