Laluan sukar Belanjawan 2021?

APAKAH nasib Belanjawan 2021? Lulus atau sebaliknya? Persoalan ini timbul selepas pelbagai persoalan dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim ketika membahas Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2021.

Ahli Parlimen Port Dickson itu membuka gelanggang perbahasan di Dewan Rakyat pagi ini dengan membangkitkan beberapa tuntutan seperti moratorium pinjaman bank, KWSP dan peruntukan mencegah Covid-19.

Presiden PKR itu berkata, pandangan ahli Parlimen pembangkang dalam pertemuan dengan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz sebelum ini tidak diendahkan, walaupun ada perkara yang disentuh secara sepintas lalu.

Katanya, Belanjawan 2021 ini mesti ada ketelusan dan berharap ia dapat teliti semula dengan pindaan.

Beliau menegaskan walaupun ada kecenderungan untuk meluluskan tetapi kerajaan juga harus tahu bahawa belum ada penentuan dan kepastian belanjawan dalam bentuk yang ada diluluskan dengan cara mudah jika tidak ada pindaan.

“Bagi saya ia adalah belanjawan yang mengelirukan, walaupun ditekankan berulang kali mengenai Covid-19, jangan lupa Kumpulan Wang Covid-19 masih merupakan jumlah kecil daripada jumlah keseluruhan.

“Ini saya tidak faham betul, mana boleh peruntukan Kementerian Kesihatan disorok bawah peruntukan pembangunan dalam Belanjawan 2021? Peruntukan ini harus diberikan penjelasan sebab utamanya mungkin hendak tunjukkan tidak ada defisit bertambah,” katanya.

Katanya, banyak persoalan yang berbangkit daripada Belanjawan 2021, sedangkan ia sepatutnya memberi fokus kepada usaha menangani Covid-19.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan berkata, antara perkara yang menimbulkan kegusaran ialah, unjuran pendapatan yang mengelirukan, pemindahan wang untuk dijadikan pendapatan kerajaan, dan tumpuan yang tidak sepatutnya kepada perbelanjaan pembangunan (CapEx).

Anwar berkata, ia seakan-akan tersasar daripada apa yang sering diperkatakan Kerajaan sebelum ini, iaitu fokus Belanjawan adalah untuk mengawal pandemik itu.

“Pandangan saya, kita akan hanya sokong kalau ia benar-benar Belanjawan Covid-19. Dalam keadaan sekarang terlalu banyak persoalan. Saya usulkan Menteri Kewangan (Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz) benar benar teliti, dengar hujah, supaya hal Covid-19 diberi keutamaan,” katanya.

Kita (pembangkang) diberitahu, digesa, dinasihat supaya sokong Belanjawan Covid-19, dan kita hanya akan sokong Belanjawan Covid-19…bukan yang lain,” katanya lagi.

Katanya, unjuran pertumbuhan ekonomi negara pada 2021, iaitu pada kadar antara 6.5% hingga 7.5%, disifatkan tidak realistik, dan bercanggah dengan ramalan beberapa badan kewangan.

“Dari mana Menteri Kewangan dapat unjuran begitu hebat. Atau semata-mata untuk penuhi selera politik, untuk meyakinkan kita boleh capai pertumbuhan dengan begitu yakin,” tegasnya.

Related posts

Leave a Comment