Redakan perasaan marah

WASHINGTON 8 Nov. — Joe Biden secara rasmi mengumumkan kejayaannya pada Sabtu (waktu AS) dan berikrar menjadi presiden yang berusaha memperbaiki perpecahan dalam negara .

Dalam ucapan sulungnya di Pusat Chase, Wilmington, Delaware, beliau berharap dapat membawa Amerika kembali dihormati di seluruh dunia.

Katanya, rakyat sudah bersuara dan mereka memberikan kemenangan yang jelas, kemenangan yang meyakinkan, kemenangan bagi rakyat.

Sambil menyatakan rasa bangga mewakili Parti Demokrat Biden menegaskan bahawa beliau adalah Presiden bagi Amerika Syarikat.

“Saya berikrar akan menjadi presiden yang berusaha untuk menyatukan dan bukan memecahbelahkan, kita tidak mahu melihat negeri merah mahupun biru tetapi hanya Amerika Syarikat.”, katanya.

Kepada penyokong Donald Trump yang akan melangkah keluar, Biden berkata, beliau memahami kekecewaan yang dialami, tetapi kini adalah masa untuk memberi ruang untuk bersama-sama maju ke depan. 

“Sudah tiba masanya singkirkan segala retorik, redakan perasaan marah, saling bersua dan berbicara. Dan untuk mencapai kemajuan, kita harus berhenti memperlakukan seteru kita sebagai musuh.

Mereka bukan musuh kita. Mereka adalah rakyat Amerika,” ujar beliau.

Kejayaan Biden menjadikan Trump sebagai presiden AS yang mengetuai Rumah Putih untuk sepenggal dalam tempoh hampir tiga dekad.

Bagaimanapun, Trump tidak berputus asa dan berazam untuk meneruskan tindakan undang-undang di beberapa negeri.

Presiden yang bakal menamatkan pentadbirannya itu enggan menyerah kalah walaupun hampir semua saluran berita utama di AS mahu beliau menamatkan perlumbaan, sebaliknya Trump menegaskan pilihan raya “masih belum selesai.”

Trump dilihat akan meninggalkan pejabat ketika pandemik Covid-19 kian meruncing dengan AS melaporkan lebih 100,000 kes sehari sejak Rabu.

Selain berdepan tugas berat untuk krisis kesihatan yang kian parah, Biden juga dituntut untuk menyatukan kembali masyarakat Amerika yang sudah berpecah.

Presiden dipilih itu berkata tugas pertamanya sebaik menjejak kaki di Rumah Putih adalah untuk mengendalikan pandemik, tanpa mengatasi masalah itu sukar bagi AS membuat kemajuan dan membangun semula ekonomi serta mengembalikan negara seperti biasa.

Langkah pertamanya dilapor akan bermula seawal Isnin dengan menamakan sekumpulan saintis dan pakar terkemuka sebagai penasihat peralihan kuasa.

Biden yang akan mencecah usia 78 tahun dua bulan sebelum upacara pelantikan rasmi, menjadikannya presiden tertua dalam sejarah AS.

Related posts

Leave a Comment