IKUALA LUMPUR 7 Nov. – Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di semua negeri di Semenanjung Malaysia kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan.
Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata, tempoh penguatkuasaan adalah selama empat minggu, bermula 9 November sehingga 6 Disember ini.
Ini bermakna PKPB di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Sabah juga akan disambung.
PKPB di Selangor, Kuala Lumpur, dan Putrajaya bermula 14 hingga 27 Oktober tetapi disambung sehingga 9 November.
Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia telah melaksanakan penilain risiko dan mendapati terdapat peningkatan bilangan kes Covid-19 dan kadar kebolehjangkitan di negeri-negeri tersebut.
Pelaksanaan PKPB ini bagi membolehkan KKM menjalankan saringan secara bersasar dan mengekang penularan Covid-19 dalam komuniti.
“PKPB dilaksanakan di seluruh negeri di Semenanjung Malaysia kecuali tiga negeri iaitu Perlis, Pahang dan Kelantan. Negeri-negeri lain semuanya dikenakan PKPB,” katanya dalam sidang media harian .
Tambah beliau, prosedur operasi standard untuk PKPB itu sama juga seperti yang dilaksanakan sebelum ini.
Bagi negeri Kelantan, Pahang dan Perlis, yang kini di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), pergerakan rentas negeri juga tidak dibenarkan. Bagaimanapun pergerakan rentas daerah di dalam ketiga-tiga negeri ini dibenarkan seperti biasa.
Bagi negeri Sarawak, pergerakan rentas negeri dari Semenanjung, Sabah dan Labuan tidak dibenarkan kecuali dengan kebenaran daripada PDRM sementara pergerakan rentas daerah dalam negeri Sarawak dibenarkan kecuali ke daerah Kuching.
Sementara itu, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Maahad Al-Yahyawiyyah, Kuala Kangsar susulan kes Covid-19 dikesan di sekolah tersebut.
Ismail Sabri berkata, pelaksanaan itu akan berkuatkuasa bermula 8 November sehingga 21 November 2020.
Di samping itu, PKPD di Taman Semarak dan PPR Sri Balung, Tawau ditamatkan pada 8 November seperti yang dijadualkan.