KUALA LUMPUR 5 Nov – Hanya 80 orang ahli Parlimen boleh masuk ke dewan mesyuarat pada satu-satu masa dan persidangan sepanjang Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 itu bermula pukul 10 pagi dan tamat 2 petang.
Langkah itu adalah antara beberapa penyelarasan bagi memastikan kelancaran persidangan susulan penularan wabak Covid-19.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun berkata keputusan itu dibuat melalui Mesyuarat Penyelarasan Urusan Dewan Rakyat Berikutan Penularan Wabak Covid-19 yang diadakan semalam, yang turut dihadiri 10 ketua Whip parti.
Azhar berkata keputusan itu mengambil kira nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Selain itu, sesi pertanyaan bagi jawab lisan pada Isnin dan Rabu ialah selama satu jam dari 10 pagi hingga 11 pagi. Pada hari Selasa dan Khamis, sesi pertanyaan bagi jawab lisan ialah selama 55 minit dari 10.05 pagi hingga 11 pagi. Hanya satu soalan tambahan dibenarkan dan mestilah seringkas yang boleh,” katanya dalam pemasyhuran oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat pada persidangan hari ini.
Teks pemasyhuran itu dibacakan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon sebaik persidangan bermula hari ini.
Beliau berkata, Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT) pula akan dilaksanakan setiap Selasa dan Khamis selama lima minit dari 10 pagi iaitu Ahli-ahli Parlimen akan membacakan soalan dan menteri akan menjawab secara bertulis pada hari sama.
Bagi perbahasan di peringkat Dasar Rang Undang-undang Perbekalan 2021 selama lapan hari iaitu pada 9 hingga 12 November dan 16 hingga 19 November , manakala jawapan menteri di peringkat dasar kekal tiga hari.
Perbahasan di peringkat jawatankuasa selama 11 hari iaitu 26 Nov, 30 Nov, 1 Disember, 2 Dis, 3 Dis, 7 Dis, 8 Dis, 9 Dis, 10 Dis, 14 Dis dan 15 Dis. Jika perlu, jumlah hari persidangan boleh ditambah sebanyak dua hari iaitu pada 16 dan 17 Dis.
Azhar berkata jika Dewan Rakyat bersidang sehingga 5.30 petang dengan susunan Aturan Urusan Mesyuarat seperti sedia ada, maka selama 89 jam dan 30 minit diperuntukkan untuk berbahas (termasuk oleh menteri) dalam mempertimbangkan Belanjawan 2021 di peringkat dasar dan jawatankuasa.
Bagaimanapun dengan peraturan baharu itu, tempoh perbahasan Belanjawan 2021 di peringkat dasar dan jawatankuasa adalah selama 66 jam.
Berhubung had 80 orang sahaja pada satu-satu masa di dalam Dewan Rakyat (termasuk ahli yang akan berbahas), pecahan pembahagian adalah 41 pihak kerajaan serta 39 pembangkang dan Bebas.
Parti masing-masing akan menentukan Ahli Parlimen yang boleh berada di dewan.
Setiausaha Dewan Rakyat pula akan memberikan kad khas kepada Yang Berhormat Kota Bharu untuk selaraskan kehadiran di pihak anggota pentadbiran dan ahli-ahli Backbenchers…manakala di pihak pembangkang kad khas itu akan diberikan kepada Yang Berhormat Sungai Petani untuk kehadiran ahli pembangkang dan Bebas.
Bagi proses pengundian belah bahagian, Azhar berkata loceng akan dibunyikan selama dua minit diikuti penempohan selama 10 minit dan kemudian loceng akan dibunyikan selama dua minit lagi seperti yang dilakukan pada Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen ke-14.
Untuk proses ini kesemua Ahli Yang Berhormat dibenar berada di dalam dewan.
Azhar menjelaskan kesemua langkah yang diambil itu adalah untuk tempoh sementara demi mengimbangkan tanggungjawab Ahli-ahli Parlimen di dalam dewan dengan kepentingan menjaga kesihatan berikutan penularan wabak Covid-19.