Bukan sekadar tabung susut, doa juga ‘susut’

MEMANG benar kata seorang sahabat. Apabila masjid dan surau ditutup, isi tabung pun susut. Jumaat lepas ada sekeping RM20, tiga keping RM10 dan dua RM5.

Bagaimana tidak susut jika yang dibenarkan ke masjid atau surau ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hanya enam orang lebih-lebih lagi yang hadir adalah orang yang sama pada setiap waktu.

Benar, tidak dinafikan, orang ramai masih boleh menyumbang melalui atas talian tetapi ada sebab tertentu jemaah lebih selesa memasukkan duit ke tabung sama ada untuk masjid, anak yatim dan sebagainya. Sekadar ada dan termampu walaupun RM1 tetapi jika 40 atau 50 jemaah setiap waktu, besar jumlahnya.

Mudah cerita, kalaulah anda ada 1,000 ‘kawan’ Facebook, jika setiap kawan sudi beri RM1 ketika anda sesak, lumayan hasilnya walaupun RM1 seorang. Bayangkan jika anda ada ribu-ribu kawan. Tetapi pastinya tidak semua yang sedia membantu walaupun RM1. Ini sekadar contoh, supaya lebih mudah faham.

Bukan setakat tabung susut, doa jemaah agar ditolak bala, ‘diangkat’ pergi wabak Covid-19 ini juga susut kerana yang berdoa hanyalah suku saf dengan jarak fizikal.

Kembali kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) ke masjid dan surau, penjelasan yang sewajarnya amat diperlukan supaya jemaah lebih jelas berhubung jumlah jemaah. Rata-rata jemaah tidak ada masalah mematuhi SOP untuk melayakkan diri solat tetapi jumlah itu yang menjadi persoalan.

Selagi tidak ada penjelasan yang meyakinkan, selama itu juga orang ramai khususnya jemaah tegar masjid dan surau akan terus tertanya-tanya berkaitan SOP jumlah jemaah itu. Hakikatnya jemaah boleh ikut SOP di masjid atau surau, tetapi di luar kawasan itu masih belum pasti.

Mereka akan membandingkan SOP jumlah pengunjung pasar raya, pasar malam, restoran dan pelbagai lagi. Hari ini pula di Parlimen, hanya 80 orang wakil rakyat pada satu-satu masa. Dan boleh ditambah kepada kapasiti penuh ketika undian mahu dilakukan. Kenapa pula boleh tambah? Sebab masa undian lebih singkat.

Berapakah masa yang diambil untuk solat berjemaah pada waktu Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak? Berapa lama pula masa diambil ketika berada di pusat membeli belah, restoran, pasar raya atau mesyuarat. Dan bagi wakil rakyat pula berapa lama mereka berada di Dewan Rakyat, satu kawasan tertutup?

Risiko jangkitan ada di mana-mana. Kawalan kendiri amat penting. Patuh SOP juga penting. Tidak ada sesiapa yang mahu mendedahkan diri mereka kepada penyakit. Justeru isu jumlah jemaah di masjid dan surau perlu ditangani secara berhemah.

Jemaah amat mematuhi SOP asas seperti wuduk di rumah, memakai pelitup muka, bawa sejadah dan memeriksa suhu. Mereka daftar kehadiran. Jika ada pun yang tidak patuh SOP, jumlahnya amat kecil kerana sikap mereka memang begitu dan tidak ada yang berani tegur kerana ini soal ibadah.

Teguran berkaitan beribadah ini akan disalah tafsir. Mungkin ‘ragam’ dua tiga orang ini menjadi masalah kepada pihak berkuasa. Justeru kerjasama jemaah amat penting. Hari ini, jemaah hanya tertanya-tanya SOP jumlah jemaah. itu sahaja. Semoga ada penjelasan dan penyelesainnya.

Berkaitan SOP ini, rujuk tulisan saya sebelum ini di selak-selak.com iaitu : Sukarkah mematuhi SOP? (6 Julai), Jangan aniaya jemaah lain (24 Julai), Sejadah, kegagalan ikuti norma baharu Covid-19 ? (26 Ogos), Jemaah masjid, surau lebih patuh SOP (4 Oktober) dan Lebih baik had, bukan tutup (16 Oktober).

Related posts

Leave a Comment