Hamas hapus jika langgar gencatan senjata

WASHINGTON – Kumpulan pejuang Palestin, Hamas akan “dihapuskan” sekiranya melanggar perjanjian gencatan senjata dengan Israel, demikian amaran oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

“Kami telah membuat perjanjian dengan Hamas – mereka akan berkelakuan baik, mereka akan bersikap sopan,” kata Trump kepada wartawan di White House ketika menerima lawatan Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, pada Isnin.

Tegasnya, jika Hamas tidak berbuat demikian, AS akan bertindak dan menghapuskan mereka.

“Mereka tahu perkara itu,” tegasnya ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pegawai Israel menyeru semua pihak mengekalkan ketenangan selepas keganasan tercetus semula di Gaza hujung minggu lalu.

Trump menegaskan, tentera AS tidak akan terlibat dalam sebarang operasi baharu, sambil menjelaskan puluhan negara lain telah bersetuju menghantar pasukan ke Gaza sebagai sebahagian daripada pasukan penstabilan antarabangsa.

“Andai saya arahkan, Israel boleh masuk (ke Gaza) dalam masa dua minit. Tapi buat masa ini, kami beri sedikit ruang untuk keamanan dan diharap keganasan tidak berulang,” katanya.

Trump mendakwa Hamas kini jauh lebih lemah berbanding sebelumnya, manakala Iran – penyokong utama kumpulan itu di rantau berkenaan “tidak berani campur tangan” selepas serangan udara AS dan Israel awal tahun ini.

Sementara itu, jurucakap PBB, Stephane Dujarric, menyeru semua pihak menunaikan komitmen masing-masing di bawah perjanjian gencatan senjata yang dimeterai hampir dua minggu lalu.

“Kami menggesa semua pihak menghormati komitmen bagi melindungi orang awam dan mengelak sebarang tindakan yang boleh mencetuskan semula pertempuran serta menjejaskan operasi kemanusiaan,” katanya.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap siri serangan terbaharu di Gaza yang mengancam usaha damai yang sedang dijalankan.

Related posts

Leave a Comment