Virus mutasi D614G di kluster Selangor?

PUTRAJAYA 4 Nov. – Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menolak kemungkinan bahawa kluster-kluster yang dikenal pasti di Selangor mempunyai strain virus jenis mutasi D614G.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini kerana kebanyakan kes yang direkodkan di negeri itu adalah daripada mereka yang pulang dari Sabah.

Hari ini daripada 1,029 kes penularan tempatan, satu kes merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah dan ini menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September lalu adalah 479 kes.

Sebelum ini, Dr Noor Hisham pernah memaklumkan mutasi D614G sebanyak 10 kali lebih mudah menjangkiti individu lain selain mudah merebak sekiranya disebar oleh individu super spreader dalam Kluster Sivagangga.

“Berdasarkan kebanyakan kajian yang kita lakukan, sebelum ini sebagai contoh 23 sampel yang diperoleh dalam Kluster Benteng Lahad Datu yang kami hantar kepada Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mendapati terdapat mutasi D614G,” katanys.

Begitu juga di Kedah di mana beberapa kluster yang dikaji seperti Kluster Sivagangga, Kluster Tawar dan Kluster Sungai semua mempunyai kaitan walaupun ia dikenal pasti sebagai jenis yang berbeza tetapi mutasi yang sama.

“Walaupun tiada kaitan epidemiologi yang jelas tetapi mempunyai jenis mutasi virus yang sama, jadi adalah tidak mustahil bagi 31 kluster yang dikenal pasti di Selangor mempunyai kaitan daripada mereka yang pulang dari Sabah,” katanya.

Beliau berkata, kemungkinan kes mempunyai virus mutasi yang sama.

Sementara itu, KKM menjangkakan penurunan nilai kebolehjangkitan atau R-naught kepada 0.5 dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi.

Katanya, ketika ini KKM tidak menggunakan kaedah yang sama seperti fasa awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu.

“Kita sekarang menggunakan kaedah ketika fasa PKPB, kita lihat dalam tempoh dua minggu telah mula nampak kesan penurunan R-naught daripada 2.2 kepada 1.0,” katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, situasi Covid-19 di Malaysia ketika ini masih mampu bertahan dengan kadar bacaan R-naught 1.0 melihat kepada kes penularan baharu.

Bagaimanapun katanya, KKM perlu menggandakan usaha di lapangan bagi memastikan usaha menurunkan lagi kadar R-naught dapat dicapai.

“Jika sebelum ini kita mampu melandaikan bacaan R-naught dalam masa beberapa minggu, jadi kita jangkakan dalam tempoh sama akan berlaku penurunan yang sama,” katanya lagi.

Dr Noor Hisham menegaskan, pencapaian itu hanya mampu dicapai sekiranya mendapat kerjasama daripada orang ramai untuk terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

Related posts

Leave a Comment