Covid-19 : Indonesia atasi negara anggota ASEAN lain

KUALA LUMPUR 3 Nov. – Indonesia merekodkan kes harian Covid-19 tertinggi hari ini berbanding empat negara anggota ASEAN lain iaitu Filipina, Malaysia, Thailand dan Singapura.

Pada masa yang sama Indonesia juga mempunyai jumlah kumulatif kes yang tinggi berbanding negara anggota lain.

Menurut Kementerian Kesihatan INDONESIA, sebanyak 2,973 kes baharu Covid-19 direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif 418.375 dengan kes aktif 54,732

Jakarta mencatatkan kes tertinggi iaitu 617 diikuti Jawa Barat 484, Jawa Tengah 453 dan Jawa Timur 272.

Bagi kes kematian pula, sebanyak 102 lagi pesakit meninggal dunia dengan kumulatifnya meningkat kepada 14,146 kematian.

Sementara kes sembuh pula menunjukkan peningkatan apabila 3,931 lagi pesakit pukih yang membawa kepada kumulatif sebanyak 349,497.

Di FILIPINA, Jabatan Kesihatan (DoH) melaporkan sehingga pukul 4 petang hari ini, sebanyak 1,772 kes baharu Covid-19 direkodkan menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 387,161.

Jumlah pesakit yang meninggal dunia pula adalah 49 orang yang membawa kepada jumlah kumulatif 7,318 kematian. Kes aktif pula 30,876.

DoH juga merekodkan 153 pesakit sembuh hari ini, menjadikan jumlah kumulatif pesakit sembuh meningkat kepada 348,967 orang atau 90.1 peratus daripada keseluruhan kes.

MALAYSIA pula mencatatkan angka empat digit iaitu 1,054 kes, selain mencatatkan kematian tertinggi sebanyak 12 kes sejak pandemik itu melanda negara.

Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah 34,393 kes manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 10,135 kes.

Jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia kini adalah 263 kes.

THAILAND merekodkan 10 kes baharu Covid-19, kesemuanya kes import yang membawa jumlah keseluruhan kes jangkitan di negara itu sebanyak 3,797.

Menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), lima kes melibatkan warga Thai yang pulang dari luar negara dan lima lagi warga asing yang tiba dari luar negara.

Warga tempatan yang terlibat itu adalah yang pulang dari Bahrain, Arab Saud dan Republik Czech dan dua lagi dari Jerman.

Lima warga asing itu Ipula dari Rusia, Azerbaijan, Bangladesh, Perancis dan Israel.

SINGAPURA merekodkan sembilan kes baharu Covid-19 setakat tengah hari ini yang membawa jumlah keseluruhan kes Covid-19 di negara itu kepada 58,029.

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dua daripada kes itu adalah jangkitan tempatan dan kedua-duanya tinggal di asrama.

Tujuh kes import dilaporkan hari ini dengan kesemuanya sudah dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah setibanya di Singapura.

Tiada kes baharu dilaporkan dalam kalangan masyarakat.

Related posts

Leave a Comment