GENEVA 2 Nov. – Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus mengesahkan beliau dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada satu kes positif Covid-19.
Bagaimanapun pada Isnin, Tedros memaklumkan menerusi Twitter, beliau tidak mengalami sebarang simptom dan berada dalam keadaan baik.
“Saya tidak bergejala dan baik-baik sahaja, namun akan menjalani kuarantin kendiri selama beberapa hari mengikut protokol WHO dan bekerja dari rumah,” menurut salah satu ciapan Tedros.
Bekas Menteri Kesihatan Ethiopia itu yang memegang jawatan sekarang sejak 2017 dalam masa yang sama mengulangi saranan supaya orang ramai mematuhi protokol kesihatan
“Sangat kritikal untuk kita patuh garis panduan kesihatan. Ini cara kita memutuskan rantaian jangkitan Covid-19, menghalang virus ini dan melindungi sistem kesihatan.”
“Saya bersama rakan-rakan sekerja WHO akan terus bekerjasama dengan pihak lain dalam solidariti untuk menyelamatkan nyawa dan melindungi golongan yang berisiko,” katanya.
Sementara itu kes baharu Covid-19 di Eropah meningkat lebih seganda dalam tempoh lima minggu, sekali gus melepasi paras 10 juta jangkitan di benua tersebut.
Pada bulan lalu, kedua-dua rantau Amerika Latin dan Asia melaporkan lebih 10 juta kes secara keseluruhannya.
Amerika Syarikat melaporkan lebih sembilan juta kes dengan virus itu menular dengan pantas di negara tersebut.
(Foto Tedros semasa sidang media Jumaat lalu)