456 ingkar PKP ditahan

SEBANYAK 60,089 pemeriksaan dilakukan semalam (30 Oktober 2020) di seluruh negara bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan berkata, hasil pemeriksaan itu, polis menahan 456 individu atas pelbagai kesalahan ingkar arahan PKP dan kesemua mereka  dikompaun.

Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka (174), penjarakan fizikal (74), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (72), aktivti pusat hiburan (34), dan lain- lain (102).

Mengenai Operasi Benteng, 12 pendatang asing tanpa izin dan dua tekong ditahan

serta merampas dua kenderaan darat.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutama di lorong tikus,” katanya.

Beliau juga memberitahu, sejak 24 Julai sehingga 30 Oktober 2020, seramai 58,365 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

Mereka ditempatkan di 63 hotel dan 18 premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan.

Daripada jumlah itu, seramai 9,960 individu sedang menjalani proses Kuarantin Wajib, 381 individu dihantar ke hospital untuk rawatan dan 48,024 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang.

Mereka  pulang dari 36 negara, iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Laos, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, UK, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand, Amerika Syarikat, Ethiopia, Maldives & Oman.

Related posts

Leave a Comment