Masih ada ingkar pelitup muka

KUALA LUMPUR : Masih ada individu yang ditahan kerana gagal memakai pelitup muka, salah satu kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam, 28 Oktober 2020.

Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 549 individu ditahan kerana pelbagai kesalahan ingkar arahan PKP.

Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai 547 individu dikompaun manakala dua lagi direman.

Di samping pelitup muka, kesalahan lain adalah gagal menyediakan peralatan dan merekod butiran diri (154), penjarakan fizikal (79), premis beroperasi lebih masa (34), aktiviti di pusat hiburan (9) dan lain-lain (85).

Dalam satu kenyataan mengenai pelaksanaan PKP, beliau memberitahu, Operasi Benteng bagi mengawal sempadan negara daripada dibolosi pendatang tanpa izin selain membendung penularan wabak Covid-19, berjaya menahan seramai 14 warga asing  dan enam kenderaan darat serta satu bot dirampas semalam.

Katanya, sebanyak 291 sekatan jalan raya turut dilaksanakan semalam.

Ismail Sabri juga memaklumkan,  sejak 24 Julai hingga semalam, 56,699 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 65 hotel serta 17 premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta institusi pengajian swasta di seluruh negara.

Seramai 9,523 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 381 individu dihantar ke hospital untuk rawatan. Seramai 46,795 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang.

Related posts

Leave a Comment