PN dukacita, lakukan pindaan sesuai

KUALA LUMPUR 9 Feb. –  Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan segera melakukan pindaan yang sesuai pada peruntukan tertentu dalam Perlembagaan Persekutuan untuk memastikan kedudukan undang-undang Islam sentiasa terjamin.

Pengerusinya, Muhyiddin Yasin dalam satu kenyataan berkata, ia juga bagi menjamin supaya hak umat Islam di negara ini untuk dinaungi oleh undang-undang syariah dalam kehidupan mereka, sentiasa terpelihara.

Beliau yang berdukacita dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan 16 seksyen dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan tidak sah percaya majoriti umat Islam di negara ini juga berdukacita.

“Dengan keputusan ini, perbuatan yang bertentangan dengan hukum Islam seperti menawarkan perkhidmatan maksiat, berkhalwat, sumbang mahram dan minum arak tidak lagi menjadi suatu kesalahan bagi umat Islam di negeri Kelantan,” katanya.

Beliau percaya, jika ada pihak yang mencabar kedudukan undang-undang Islam di negeri-negeri lain, undang-undang berkenaan juga akan diisytiharkan tidak sah berdasarkan precendent yang sudah dibuat oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid hari ini.

“Saya menghormati kuasa mahkamah untuk mentafsir undang-undang. Pada masa sama, dalam sebuah negara demokrasi berparlimen yang mengamalkan doktrin pengasingan kuasa, Parlimen mempunyai kuasa untuk membuat dan meminda undang-undang,” katanya.

Related posts

Leave a Comment