PBS tak tanding Batu Sapi

SANDAKAN: Peluang Warisan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Batu Sapi semakin terbuka apabila sebuah lagi parti politik utama mengumumkan tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang dijadualkan 5 Disember depan.

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Dr Maximus Ongkili ketika mengumumkan pendirian itu berkata, keputusan tersebut dibuat Biro Politik parti dalam mesyuarat baru-baru ini.

Menurutnya, ia diputuskan selepas menilai situasi pandemik Covid-19 yang semakin membimbangkan di Sabah.

“PBS melihat keselamatan dan kesihatan rakyat sebagai perkara yang perlu diberi keutamaan ketika ini. Justeru, PBS memutuskan untuk tidak bertanding walaupun ia adalah kerusi yang menjadi kubu kuat PBS,” katanya dalam satu kenyataan media.

Katanya, keputusan itu turut dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, PBS akan menyokong calon dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sekiranya mereka bertanding pada PRK berkenaan.

Sebelum ini, beberapa parti termasuk Barisan Nasional (BN), Parti Cinta Sabah (PCS), Pakatan Harapan (PH) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) mengumumkan tidak akan bertanding pada PRK terbabit.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Liew Vui Keong disebabkan jangkitan paru-paru pada 2 Oktober lalu.

Mendiang Vui Keong memenangi kerusi itu atas tiket Parti Warisan Sabah (WARISAN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 November sebagai hari penamaan calon, diikuti pengundian awal pada 1 Disember dan pengundian biasa pada 5 Disember depan.

Related posts

Leave a Comment