MASIH ada yang ingkar arahan memakai pelitup muka apabila 182 orang ditahan atas kesalahan tersebut.
Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka adalah antara 467 individu yang ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Sebanyak 460 individu dikompaun, enam direman dan seorang dijamin.
Kesalahan lain yang dilakukan adalah gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (110), penjarakan fizikal (106), premis beroperasi lebih masa (5) dan lain-lain (64).
Mengenai kawalan sempadan negara, Op Benteng berjaya menahan 58 PATI, serta merampas dua bot dan dua kenderaan darat.
Katanya, Rejimen Pertama Kor Armor Diraja berjaya menangkap 33 PATI di Felda Tenggaroh, Mersing, Johor.
Mengenai kuarantin wajib, sebanyak 49,923 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.
Ketika ini, 9,261 individu sedang menjalani kuarantin wajib di 72 hotel dan 16 premis termasuk Institut Latihan Awam serta Institusi Pengajian Tinggi Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan
Sebanyak 381 individu dibawa ke hospital untuk rawatan manakala 40,281 individu telah di discaj dan dibenarkan pulang ke rumah.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan bersetuju untuk membenarkan gimnasium beroperasi seperti biasa dengan SOP ketat.
“Bagi aktiviti di padang bola sepak komersial dan pusat futsal turut dibenarkan tetapi hanya bagi tujuan latihan dan terhad kepada 10 peserta pada satu-satu masa,” katanya.
Kebenaran ini akan berkuat kuasa bermula 19 Oktober 2020 dan SOP selanjutnya akan diumumkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam masa terdekat.