LEBIH baik dihadkan dalam jumlah tertentu daripada ‘menutup’ peluang solat berjemaah lima waktu dan Jumaat di masjid dan surau ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Justeru langkah yang diambil oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) boleh dipertimbangkan oleh negeri lain yang dikenakan PKPB. Lebih-lebih lagi keputusan itu diambil pada Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Jawi pada Khamis memutuskan solat lima waktu dihadkan tidak lebih 20 orang manakala solat Jumaat tidak melebihi 50 orang tertakluk kepada keluasan dewan solat dengan penjarakan satu meter antara jemaah.
Pemilihan jemaah akan ditentukan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid dan Surau Jumaat masing-masing melalui jemputan atau kaedah terbaik yang diputuskan bersesuaian di bawah kariah masing-masing.
Setakat ini, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memaklumkan solat Jumaat, solat fardu berjemaah serta aktiviti mengimarahkan masjid dan surau di Selangor, ditangguhkan semasa tempoh PKPB.
Dalam tempoh itu solat Jumaat tidak dilaksanakan manakala solat fardu berjemaah dilaksanakan dalam jumlah jemaah yang tidak melebihi tiga orang.
Pemerhatian saya yang bukan seorang ahli agama atau pengamal perubatan, disiplin yang ditunjukkan oleh jemaah ke masjid atau surau adalah lebih baik, bergantung juga kepada pentadbir masjid dan surau bertegas dalam soal SOP ini.
Merujuk tulisan saya sebelum ini JEMAAH MASJID, SURAU LEBIH PATUH SOP, jemaah masjid dan surau mungkin lebih berdisiplin, patuh dan jauh lebih baik mematuhi SOP berbanding ketika kunjungan di restoran, kedai, pasar atau pusat membeli-belah, majlis kenduri atau jamuan, kawasan rekreasi dan sebagainya.
Mereka juga jauh lebih baik ketika mengikuti kuliah Subuh, Maghrib, Dhuha atau khutbah Jumaat berbanding mereka di ‘luar sana’ termasuk orang politik ketika berkempen dan berceramah semasa pilihan raya.
Bandingkan situasi semasa mahu memasuki premis berkenaan. Contohnya di surau dan masjid, jemaah bukan sekadar patuh ketika melangkah masuk tetapi juga ketika berada di dalam masjid atau surau. Penjarakan fizikal dijaga dan mereka tidak berada lama di situ.
Tidak seperti restoran atau pusat membeli-belah misalnya, kebanyakan hanya patuh ketika hendak masuk – memakai pelitup muka, memeriksa suhu dan mengimbas nama atau daftar kehadiran – tetapi semasa di dalamnya tiada jaminan untuk mereka menjaga penjarakan fizikal.
Susunan meja di restoran juga terabai disebabkan tidak mematuhi jarak yang ditetapkan. Isu ini juga menjadi bualan dalam kalangan masyarakat yang mempersoalkan kenapa situasi ini berlaku, seolah-olah ada ‘pilih kasih’.
Kita semua tidak mahu walau di mana sahaja, sama ada masjid, surau, pusat membeli belah, restoran, kedai gunting rambut, dan sebagainya menjadi lokasi yang bermulanya penyebaran wabak ini.
Dalam soal ini, di mana sahaja kita pergi ketika berhadapan wabak ini, yang penting adalah lebih berdisiplin mematuhi SOP tanpa perlu ditegur oleh mana-mana pihak – maksudnya tahu tanggungjawab kawalan kendiri.
Apa yang penting seseorang perlu ikhlas dan jujur dalam mematuhi SOP ini.
NOTA : GRAFIK GARIS PANDUAN MASJID SURAU SEMASA PKPB PERINGKAT NASIONAL SEBELUM INI.