PM10 : GPS serah kepada Agong

KUCHING 22 Nov. – Gabungan Parti Sarawak (GPS), menyerahkan pelantikan Perdana Menteri baharu kepada kuasa dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dalam satu kenyataan Pejabat Premier Sarawak hari ini, GPS sebelum ini telah mengemukakan cadangan untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan.

Ia melibatkan gabungan yang terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), GPS dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mewakili masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

“Memandangkan kemelut politik di Semenanjung Malaysia, GPS berpendirian bahawa mandat rakyat hendaklah dihormati.

“Oleh itu, GPS menyerahkan kepada kebijaksanaan Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Agong mengikut kuasa yang diperuntukan kepada Baginda dalam Perlembagaan Malaysia untuk melantik Perdana Menteri yang akan mengetuai kerajaan yang kukuh untuk mentadbir negara,” kata kenyataan itu.

GPS juga menegaskan bahawa kepentingan negara adalah lebih diutamakan dan penubuhan kerajaan yang stabil mengambil kira kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan peribadi.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 Sabtu lalu, GPS memenangi 23 kerusi termasuk Baram yang pengundian berakhir semalam selepas berlaku penangguhan di 11 tempat mengundi pada 19 November lalu.

Related posts

Leave a Comment