RM5 juta kendali PRK Batu Sapi

PUTRAJAYA: Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi yang dijadualkan pada 5 Disember ini memerlukan peruntukan RM 5 juta, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Abdul Ghani Salleh

Sebanyak 32,962 pengundi layak memilih di mana 31,152 pengundi biasa, 672 tentera dan pasangan, dan 1,138 anggota polis dan pasangan.

Abdul Ghani berkata, SPR menetapkan hari penamaan calon pada 23 November manakala hari pengundian awal pada 1 Dis. Tempoh kempen pula selama 12 hari.

PRK Batu Sapi perlu diadakan bagi mengisi kekosongan susulan kematian penyandangnya Liew Vui Keong pada 2 Oktober lepas dipercayai akibat jangkitan paru-paru.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Liew yang mewakili Parti Warisan Sabah berjaya memenangi kerusi Parlimen Batu Sapi dengan majoriti 4,619 undi dalam pertandingan empat penjuru.

Mengenai kempen, Abdul Ghani berkata SPR tidak membenarkan aktiviti ziarah dan ‘walkabout’ oleh calon atau penyokong parti sempena PRK itu. 

Beliau berkata calon boleh berkempen secara dalam talian atau melalui saluran media sosial dan pengedaran risalah kempen secara pos, untuk mengekang penularan pandemik Covid-19.

SPR, katanya telah menyediakan satu Garis Panduan Pencegahan Covid-19 Bagi Pelaksanaan Pilihan Raya selaras dengan Akta Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342. 

Abdul Ghani berkata PRK Batu Sapi membabitkan 837 orang petugas, 13 buah pusat mengundi dengan 67 tempat mengundi (saluran). 

PRK Batu Sapi merupakan PRK ke-13 selepas PRU-14 pada 9 Mei 2018.

Selain 12 PRK sebelum ini, turut diadakan selepas PRU-14 ialah Pilihan Raya Negeri Sabah pada bulan lepas. Batu Sapi terletak dalam daerah Sandakan di Sabah.

Related posts

Leave a Comment