China senaraikan Malaysia

CHINA bersetuju meletakkan Malaysia dalam senarai negara utama untuk mendapatkan bekalan vaksin Covid-19.

Menteri Luar, Hishammuddin Tun Hussein berkata, bekalan itu akan diagihkan selepas negara itu selesai menjalani ujian klinikal vaksin berkenaan.

Katanya, Malaysia menyambut baik dan menghargai komitmen China itu.

“Kami juga menyambut baik kesepakatan China untuk mendorong perusahaan negara itu dalam menjalin kerjasama serentak dengan rakan kongsi Malaysia dalam penyelidikan dan pengembangan vaksin serta pengedarannya,” katanya dalam sidang media pada Selasa.

Hishammuddin sebelum itu menerima kunjungan rakan sejawatannya dari China, Wang Yi yang mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, kedua-dua pihak turut bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Tahap Tinggi dalam menzahirkan kerjasama Memorandum Persefahaman (MoU) Era Pasca Covid-19.

Jelas beliau, jawatankuasa itu akan dipengerusikan kementerian kedua-dua negara bagi mengawasi pelaksanaan dan perbincangan semua aspek dalam kerangka MoU berkenaan.

“MoU ini menyediakan kerangka kerja kerjasama pragmatik yang luas antara kedua-dua negara pasca COVID-19 dan saya berharap dapat menandatangani MoU ini secara peribadi dalam lawatan saya kembali ke Beijing apabila keadaan mengizinkan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment