394 kes, 23 kluster ‘dari Sabah‘

TERDAPAT sebanyak 394 kes positif Covid-19 yang melibatkan pengunjung dengan sejarah perjalanan pulang dari Sabah sejak 22 September 2020. Dari jumlah itu, sebanyak 228 kes (57.9 peratus)  adalah dalam kalangan pengunjung yang tiba sebelum 27 September 2020, manakala sebanyak 166 kes (42.1 peratus) lagi adalah dalam kalangan pengunjung yang tiba selepas 27 September 2020.

Secara keseluruhan sehingga 13 September 2020, seramai 18,478 individu dengan sejarah perjalanan pulang dari Sabah telah disaring di semua pintu masuk antarabangsa dan domestik.

Sehingga kini terdapat 23 kluster di seluruh Malaysia yang disebabkan oleh kes indeks yang juga merupakan pengunjung dengan sejarah perjalanan pulang dari Sabah. Walaupun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan saringan kepada semua pengunjung dari Sabah sejak 27 September dan mengeluarkan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) sehingga keputusan ujian negatif dimaklumkan, kes dan kluster berkaitan kelompok ini masih terus dilaporkan.

Bagi membantu menangani isu ini dan dengan mengambil kira situasi kenaikan jumlah kes Covid-19 di Sabah, semua pengembara yang tiba dari Sabah wajib menjalani saringan kesihatan Covid-19 di Pintu Masuk Antarabangsa dan Domestik, diberikan HSO selama 14 hari dari tarikh ketibaan, dipakaikan gelang (wristband) dan perlu memantau kesihatan kendiri menggunakan Home Assessment Tool (HAT) dalam aplikasi MySejahtera.

Langkah ini bermula 11 Oktober 2020 sehingga suatu tarikh yang akan diberitahu kelak. Situasi semasa berkaitan isu adalah dipantau rapi oleh KKM dan sebarang perubahan dalam pendekatan yang diambil akan dibentangkan kepada Majlis Keselamatan Negara.

Related posts

Leave a Comment