SIAPAKAH 120 orang yang dinamakan itu? Rakyat juga ingin tahu wakil rakyat mana yang menawarkan diri untuk melihat kerajaan berusia lapan bulan ini, yang sedang ‘menangani malapetaka’ Covid-19 jatuh dan bertukar kepemimpinan.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim boleh mendakwa mendapat sokongan majoriti kukuh dan mencukupi tetapi tanpa bukti yang kukuh juga menyukarkan keputusan.
Seperti kenyataan Istana Negara, Anwar telah mengemukakan jumlah ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau tetapi tidak mengemukakan senarai nama untuk mengukuhkan dakwaan tersebut.
Nampak ‘kecacatan’ di pihak Anwar yang tidak seharusnya berlaku dan dilihat oleh pelbagai pihak sebagai satu sandiwara politik atau bercakap tanpa fakta kukuh walaupun fakta itu dikatakan wujud.
Mungkin nama-nama yang tersenarai itu sudah pasti mewakili PKR, Amanah dan DAP tetapi siapa lagi yang akan melengkapkan majoriti kukuh itu? Adakah wakil rakyat UMNO, Pas, Bersatu, MCA, MIC serta parti-parti dari Sabah dan Sarawak?
Dalam hal ini, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menasihati Anwar akur dan menghormati proses perundangan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Adalah lebih mudah bagi Seri Paduka membuat keputusan sekiranya mempunyai bukti yang kukuh, bukan sekadar akuan bersumpah, lebih-lebih lagi sejak kebelakangan ini ramai ahli Parlimen yang tampil menafikan sokongan kepada Anwar sehingga ada yang membuat laporan polis.
Jelaslah dengan hanya mendakwa mempunyai angka sokongan belum menjamin kebenaran fakta sebenar kerana ada proses perlembagaan yang perlu diikuti.
Harus diingat perubahan kerajaan yang sedang diusahakan oleh Anwar tidak sama seperti yang berlaku selepas Dr. Mahathir Mohamad meletak jawatan sehingga menyebabkan kerajaan PH terbubar dan memerlukan sebuah kerajaan baharu.
Kini, fasa seterusnya adalah untuk mengetahui sokongan sebenarnya yang ada pada Anwar. Bagaimana caranya?
Anwar ketika ditanya sama ada sokongan itu termasuk Pejuang, parti bekas Perdana Menteri Dr Mahathir , Anwar berkata: “Senarai itu akan dikeluarkan nanti”. Sepatutnya senarai itu sudah dipersembahkan semasa pertemuan di Istana Negara.
Apakah yang perlu dirisaukan Anwar dengan senarai itu kerana lambat laun akan diketahui umum juga lebih-lebih lagi apabila Seri Paduka menitahkan mereka menghadap untuk mendapatkan kepastian.
Ketika ini, bagi menjawab pelbagai persoalan berhubung angka atau senarai yang ada, tumpuan terarah kepada pertemuan Seri Paduka dengan pemimpin parti (jika ada) selain Tengku Razaleigh Hamzah.
Pilihan lain adalah lebih baik isu ini dibawa ke Parlimen bagi melihat sejauh mana sokongan yang bakal diperoleh oleh Anwar.
Dan sementara menunggu keputusan muktamad itu, eloklah Anwar menyahut seruannya sendiri untuk menyerahkan kepada Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong menjalankan tanggungjawab mengikut lunas perlembagaan serta budi bicara Tuanku untuk menelaah dokumen dan dalam satu dua hari ini, memanggil ketua parti untuk mengesahkan dan juga mendapat input sebaiknya.
Pada masa yang sama eloklah Anwar menghentikan kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat dan menimbulkan keresahan atau persepsi yang tidak baik dalam kalangan orang luar.
Sudah dua kali Anwar dalam sidang media pertamanya pada 23 September dan hari ini, 13 Oktober menyatakan “kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah jatuh”.
Hakikatnya, petang ini Muhyiddin muncul dalam sidang media khas khusus berkaitan Covid-19. Kerajaan Muhyiddin masih wujud.