Jumlah kes Malaysia 16,220

PUTRAJAYA: Bilangan kes baharu Covid-19 kekal tiga digit dengan 563 kes baharu dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan mencecah 16,220 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Perkembangan itu menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan turut meningkat kepada 5,039 kes, dengan dua kematian dilaporkan.

Katanya daripada 563 kes positif, satu adalah kes import yang mendapat jangkitan dari Indonesia, melibatkan warga tempatan di Kuala Lumpur.

Sabah kekal merekodkan kes positif harian tertinggi melibatkan 291 kes, namun kes positif meningkat di Pulau Pinang iaitu sebanyak 141 kes membabitkan Kluster Penjara Reman.

“Di Selangor terdapat 69 kes, diikuti Kuala Lumpur (27), Negeri Sembilan (12), Kedah (10), Perak (empat), masing-masing dua kes di Johor, Putrajaya dan Labuan serta masing-masing satu kes di Sarawak dan Melaka,” katanya pada sidang media secara maya yang disiarkan di Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hari ini.

Dr Noor Hisham berkata sehingga kini, 98 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu 29 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Bagi kes penularan tempatan, beliau berkata daripada 562 kes yang dilaporkan, 498 kes melibatkan warga tempatan dan 64 kes bukan warganegara.

Beliau turut memaklumkan sebanyak 109 kes yang pulih hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya daripada Covid-19 adalah 11,022 kes iaitu 67.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Mengenai pertambahan dua kes kematian hari ini, ia menjadikan jumlah kematian akibat pandemik itu sebanyak 159 kes melibatkan dua wanita di Sabah iaitu masing-masing seorang warga tempatan dan bukan warganegara.

Kematian ke 158 melibatkan seorang wanita warga tempatan berumur 85 tahun, dengan latar belakang penyakit darah tinggi, jantung dan penyakit paru-paru kronik di Hospital Tawau, manakala kematian ke 159 melibatkan wanita bukan warganegara berumur 48 tahun di Hospital Tuaran.

Related posts

Leave a Comment