Di sana sini sekolah ditutup

KUALA LUMPUR: Semua 298 sekolah rendah dan menengah yang berada dalam kawasan zon merah Covid-19 di PETALING, Selangor diarah tutup selama dua minggu bermula Isnin, 12 Oktober .

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan media pada Ahad memaklumkan, sekolah yang terlibat termasuk sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM.

Sekolah yang mempunyai asrama termasuk Kolej Vokasional juga ditutup. Ibu bapa atau penjaga perlu mengambil pelajar yang tinggal di asrama tersebut untuk pulang.

Bagaimanapun, pelajar yang menunggu untuk diambil ibu bapa atau murid yang ingin terus kekal berada di asrama sekolah dan Kolej Vokasional sepanjang tempoh penutupan sekolah akan berada di bawah penjagaan warden asrama.

Dalam tempoh penutupan sekolah ini, pengetua dan guru besar akan memastikan guru-guru serta murid melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah mengikut kesesuaian guru dan murid.

Sementara itu di TAIPING, enam buah sekolah di daerah Larut Matang Selama (LMS) ditutup selama tujuh hari bermula 12 Oktober susulan terdapat kes positif Covid-19 membabitkan warga sekolah itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak, Razman Zakaria berkata, sekolah terbabit ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King Edward VII, SMK (P) Treacher Methodist, SMK Bukit Jana, Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Jana, SK Convent Kota dan SK Ulu Mengkuang.

Menurutnya, penutupan itu selaras dengan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai langkah pencegahan awal bagi mengurangkan risiko penularan wabak.

Beliau bagaimanapun menasihatkan ibu bapa dan penjaga agar tidak panik dengan situasi itu di samping mematuhi segala arahan dikeluarkan pihak sekolah.

Setakat pukul 12 tengah hari 10 Oktober, sebanyak 14 kes positif Covid-19 direkodkan di daerah LMS dengan 10 daripadanya di Taiping manakala empat lagi di Selama. 

Di KEDAH, empat sekolah yang ditutup ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baling dan SMK Bongor di Baling; SMK Bukit Payong dan Sekolah Kebangsaan Bukit Pak Kiau di Pokok Sena.

Timbalan Pengarah Pendidikan Kedah Ismail Othman berkata sekolah berkenaan ditutup kerana guru dan murid disahkan positif Covid-19.

“Penutupan sekolah itu bagi membolehkan saringan dilakukan ke atas semua guru dan murid yang menjadi kontak rapat kepada mereka yang telah dijangkiti,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, sekolah terlibat akan melalui proses sanitasi atau nyah kuman bagi membendung penularan wabak itu.

Semalam, Kementerian Pendidikan memaklumkan, mana-mana sekolah yang dikesan mempunyai kes positif Covid-19 perlu ditutup selama tujuh hari, tanpa menunggu analisis risiko oleh Kementerian Kesihatan.

Related posts

Leave a Comment