PRK Kuala Terengganu serentak PRN 12 Ogos

PUTRAJAYA 18 Julai –  Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu (P036) akan diadakan serentak dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri pada 12 Ogos ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Abdul Ghani Salleh,

Beliau berkata PRK Kuala Terengganu membabitkan sebanyak 123,575 pemilih dengan sejumlah RM465,000 diperlukan sebagai kos tambahan bagi pelaksanaan PRK terbabit.

Katanya, pada 12 Julai lalu, SPR menerima Laporan Hakim Pilihan Raya berkenaan keputusan mahkamah yang membatalkan pilihan raya bagi Parlimen P036 Kuala Terengganu pada 19 November lalu.

“Bagi pelaksanaan PRK itu, hari penamaan calon akan diadakan pada 29 Julai ini manakala pengundian awal ditetapkan pada 8 Ogos ini,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas berkaitan PRK itu di sini hari ini.

Pada 27 Jun lalu Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Ahmad Amzad pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Hakim Mohd Firuz Jaffril dilaporkan berkata pihak pempetisyen, iaitu calon Barisan Nasional (BN) Mohd Zubir Embong, berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.

Pada 3 Januari lalu, UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu di Mahkamah Tinggi di sini mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pengerusi UMNO Terengganu,  Ahmad Said dilapor berkata petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan Pas menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 November lalu, iaitu beberapa hari sebelum pengundian PRU15, melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.

Pada PRU15, Ahmad Amzad memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu dengan memperoleh majoriti 40,907 undi selepas menewaskan tiga pencabar lain termasuk Mohd Zubir.

Abdul Ghani berkata semua urusan permohonan kategori undi pos bagi dalam dan luar negara bagi Parlimen Kuala Terengganu akan dibuka semula bermula hari ini.

“Bagi kategori 1A membabitkan petugas pilihan raya, ahli dan pegawai SPR, anggota polis dan tentera serta petugas media tarikh tutup bagi undi pos ialah 26 Julai ini.
“Manakala bagi kategori 1B dan 1C membabitkan warganegara Malaysia yang berada di luar negara serta agensi dan organisasi akan ditutup pada 21 Julai ini,” katanya.

Tambahnya, bagi proses menjalankan PRK terbabit, SPR melantik seorang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dengan dibantu 19 Penolong Pegawai Pengurus.

SPR juga akan mengekalkan empat pasukan penguat kuasa memantau aktiviti
kempen pilihan raya (PP-KPR) yang sama daripada 252 pasukan yang ditubuhkan untuk Pilihan Raya Umum (PRU) DUN yang diumumkan sebelum ini.

“Sebanyak 1,995 petugas tambahan akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK Kuala Terengganu dengan keseluruhan 44 pusat mengundi akan digunakan dengan 222 saluran,” katanya.

Katanya, Pusat Penamaan Calon (PPC) yang digunakan adalah di Dewan Banquet, Menara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, iaitu berkongsi premis dengan DUN N15 Ladang yang melaksanakan PRU DUN Ke-15.

Manakala, PPC bagi DUN N13 Wakaf Mempelam, DUN N14 Bandar dan DUN N16 Batu Buruk adalah kekal seperti lokasi yang ditetapkan sebelum ini sementara Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) Parlimen P036 Kuala Terengganu dan keempat-empat DUN di bawahnya di Dewan Banquet, Menara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.

Related posts

Leave a Comment