Pusat beli-belah juga terjejas

KUALA LUMPUR: Pusat beli-belah Mid Valley Megamall (MVM) dan The Gardens Mall (TGM) di Kuala Lumpur mengesahkan terdapat satu kes positif Covid-19 yang melibatkan staf di sebuah kedai jualan penjagaan kulit.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan bahagian pengurusan pusat beli belah terbabit, staf itu bekerja di London Sales Cosmetics (LSC) Sdn Bhd.

Ia merupakan anak syarikat operasi yang mengendalikan butik Origani dan Élévatione Time Stops di kedua-dua pusat beli belah itu.

“Staf itu memaklumkan kepada pihak pengurusan LSC pada 9 Oktober lalu, bahawa salah seorang daripada ahli keluarganya dijangkiti virus berkenaan.

“Wanita itu kemudian melakukan pengasingan diri dan segera melakukan ujian saringan dan disahkan positif pada 10 Oktober lalu.

“Individu berkenaan bagaimanapun disahkan tidak menunjukkan sebarang simptom,” jelas Mid Valley Megamall dan The Gardens Mall

Tambah pihak pengurusan pusat beli-belah itu lagi, pihaknya memaklumkan perkara berkenaan pada 11 Oktober selepas wanita itu disahkan positif Covid-19.

Ekoran itu, kerja-kerja pembasmian kuman di ketiga-tiga kedai berkenaan yang bernaung di bawah syarikat LSC dijalankan.

Ketiga-tiga kedai itu turut diarahkan tutup buat sementara waktu dan pengoperasian semula hanya akan diumumkan kelak.

Sementara itu, pusat beli-belah, Bangsar Shopping Centre (BSC) ditutup buat sementara waktu selepas salah seorang pekerja di sebuah kedai jualan penjagaan kulit disahkan positif Covid-19.

Dalam satu kenyataan ringkas yang dibuat menerusi laman Facebook rasminya, pekerja di premis berkenaan didapati tidak menunjukkan sebarang gejala sewaktu bekerja pada 6 Oktober lalu.

“Kami dimaklumkan dengan satu kes positif Covid-19 yang melibatkan kakitangan kedai produk penjagaan kulit iaitu Origani, di aras bawah.

“Kakitangan tersebut bertugas pada Selasa, 6 Oktober 2020 dan pada masa itu tidak menunjukkan sebarang gejala. Pekerja itu tidak berada di BSC sejak itu,” jelas pusat beli-belah itu pada Ahad, 11 Oktober.

Susulan itu, butik tersebut menutup premis kedainya dan meminta semua pekerjanya menjalani ujian saringan mengikut saranan Kementerian Kesihatan (KKM).

BSC turut membuat kenyataan bahawa pihaknya akan menutup premis pusat beli-belah itu bermula pukul 8 malam Ahad bagi kerja pembasmian kuman dan kembali beroperasi pada Isnin (12 Oktober).

Related posts

Leave a Comment