375 kes, lima kematian

PUTRAJAYA: Sebanyak 375 kes baharu Covid-19 dan lima kematian direkodkan pada 8 Oktober di samping kemunculan lima kluster baharu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Daripada jumlah itu, 371 merupakan penularan tempatan dan empat lagi merupakan kes import, dengan kes tertinggi dicatatkan di Sabah sebanyak 271 kes.

“Daripada 371 kes penularan tempatan, 342 kes melibatkan warganegara dan 29 kes lagi bukan warganegara manakala kesemua kes import melibatkan bukan warganegara yang mengembara dari India (dua kes) dan Belgium (dua kes),” katanya.

Ini menjadikan jumlah kes positif keseluruhan adalah 14,368 kes dengan jumlah kes aktif kebolehjangkitan sebanyak 3,703 kes.

Sementara itu, terdapat 18 kes yang telah pulih menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 10,519 kes atau 73.21 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau berkata sehingga kini terdapat 60 kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 20 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Mengulas mengenai kes baharu hari ini, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 18 kes merupakan kes yang dikesan daripada Kluster Tembok, Kluster Benteng LD dan Kluster Penjara Reman.

“Ia meliputi 4.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes hari ini dan kesemua kes positif dalam kluster-kluster terasing ini dalam Kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran dan di dalam penjara. Ini bermakna mereka terasing daripada masyarakat,” katanya yang turut memaklumkan  baki 50 kes dicatatkan lain-lain kluster, 303 kes dalam komuniti serta empat kes import.

Sementara itu, katanya, 18 kes pula merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah, sekali gus menjadikan  jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September adalah sebanyak  301 kes.

Menjawab soalan mengenai keperluan membuka semula Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), beliau berkata tiada keperluan berbuat demikian buat masa ini.

Katanya, Hospital Sungai Buloh masih mampu menampung pesakit dengan kapasiti 400 katil serta memaklumkan sekiranya terdapat keperluan itu, kementerian hanya memerlukan masa tiga hari untuk  membuka  semula pusat itu.

Related posts

Leave a Comment