KP Jakim meninggal dunia

KETUA Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh, Selangor kira-kira pukul 1 petang ini akibat komplikasi jantung dan paru-paru.
Menurut kenyataan Unit Komunikasi Korporat Jakim, jenazah Al-Marhum akan dibawa pulang ke rumah beliau di Kuang, Selangor untuk urusan pengebumian pada petang ini.
Semalam, Jakim memaklumkan Paimuzi menjalani pemeriksaan saringan Covid-19 Selasa lalu di Hospital Sungai Buloh dan keputusan didapati negatif.
Memandangkan faktor sejarah kesihatan beliau yang kurang memuaskan, maka pihak hospital mencadangkan supaya beliau ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) bagi mendapatkan rawatan susulan.
Dilahirkan di Terengganu pada tahun 1961, Allahyarham berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (1985) dan Ijazah Sarjana (1995) dalam bidang Syariah dari Universiti Malaya.
Beliau mula menyertai perkhidmatan awam pada tahun 1986 dengan memulakan tugas sebagai Penolong Pengarah Pusat Penyelidikan Islam Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri.
Sebagai pegawai yang berpengalaman dalam perkhidmatan awam, Allahyarham memegang beberapa portfolio penting antaranya pengarah di beberapa bahagian di Jakim iaitu Pengarah Jakim Sabah pada tahun 2005, Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia tahun 2008, Pengarah Darul Quran tahun 2010 dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) tahun 2013.
Pada 5 Oktober 2016, beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) Jakim dan pada 1 Mei 2017, beliau dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan manakala Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim pada 1 April 2018.
Ketika menjadi Pengarah Jawi, beliau juga pernah mengambil tindakan ke atas dua kes besar iaitu Ustaz Kasanova dan ajaran sesat Millah Abraham, kira-kira enam tahun lalu.

Related posts

Leave a Comment