Lagi ADUN positif Covid-19

SEORANG lagi pemimpin politik didapati positif Covid-19 selepas pulang dari Sabah pada 26 September lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Maharani, Nor Hayati Bachok dari Amanah disahkan positif pada ujian kedua yang dilakukan pada 4 Oktober.

Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) ADUN Maharani dalam satu kenyataan hari ini, berkata, Nor Hayati telah menjalani kuarantin kendiri sejak pulang dari Sabah hingga disahkan positif Covid-19.

Dalam tempoh itu, PKWR ADUN Maharani berkata, beliau telah menjalani ujian saringan pertama iaitu pada 26 September, dengan keputusan negatif, sebelum ujian kedua yang dilakukan pada 4 Oktober, menunjukkan keputusan sebaliknya.

“Pihak kami sekali lagi menegaskan bahawa sejak hari pertama kembali sehingga 5 Oktober 2020, YB Puan Hajah Nor Hayati Bachok telah mengamalkan kuarantin kendiri di rumah atas inisiatif sendiri serta tidak hadir ke mana-mana program di luar dan tidak bertemu rakyat,” kata kenyataan itu.

Semua kontak rapat kepada beliau telah dikenal pasti oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah Muar, dan menjalani ujian saringan dan sedang menanti keputusan dalam masa terdekat.

Pihak Pejabat Kesihatan Daerah akan terus menghubungi sesiapa yang berkontak rapat dengan beliau untuk menjalani saringan.

Related posts

Leave a Comment