Sekatan perjalanan dari Sabah

MULAI 12 Oktober, kerajaan mengenakan sekatan perjalanan dari Sabah ke Semenanjung, Sarawak dan Labuan setelah mengambil kira peningkatan kes Covid-19 di seluruh Sabah. kata  Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob

Bagaimanapun, terdapat pengecualian khas diberikan kepada kes-kes tertentu yang melibatkan kes kecemasan, kematian, perkhidmatan perlu dan lain-lain yang perlu mendapat kebenaran dari Kementerian Kesihatan (KKM).

“Mereka yang telah mendapat kebenaran juga perlu menjalani ujian saringan Covid-19 oleh KKM setibanya di pintu masuk destinasi masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi pergerakan masuk ke Sabah, kebenaran diberikan kepada kategori seperti berikut:

  • Rakyat Sabah yang memegang MyKad kod H
  • Pasangan kepada rakyat Sabah yang memiliki pas imigresen Malaysia yang sah tempoh yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia, Negeri Sabah, atau bukti perkahwinan dan sijil lahir anak.
  • Pekerja bidang perkhidmatan perlu (essential service) yang mempunyai pas Imigresen Malaysia yang sah tempoh yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia, negeri Sabah.
  • Pelajar bukan rakyat Sabah yang mempunyai kad/pas pelajar daripada Jabatan Imigresen Malaysia, negeri Sabah.
  • Anggota Perkhidmatan Awam Persekutuan yang berkhidmat di Sabah perlu mendapatkan cop seksyen 66(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 di pejabat Imigresen Sabah setelah masuk ke Negeri Sabah.
  • Pemastautin tetap Sabah yang memiliki MyPR kod H atau Kad Permit Masuk atau endosmen permit masuk dalam passport.
  • Mereka hendaklah membuat permohonan kepada Jabatan Ketua Menteri melalui Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan untuk pertimbangan.
  • Mereka juga akan menjalani ujian saringan COVID-19 oleh KKM setibanya di pintu masuk destinasi masing-masing.

Sebarang pertanyaan lain boleh diajukan kepada Bilik Gerakan Bencana Negeri Sabah di talian 088-369434.

Berhubung operasi pematuhan PKPP, beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 363 individu pada Isnin atas kesalahan ingkar arahan PKPP.

Daripada jumlah itu, seramai 307 individu dikompaun, 56 lagi direman.

Beliau berkata antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka (144), gagal menyediakan peralatan/rekod butiran diri (129) dan gagal menjaga penjarakan fizikal (53), premis beroperasi lebih masa (17), aktiviti dalam pub dan kelab malam (15), masuk kawasan PKPDB tanpa kebenaran (dua), langgar perintah kuarantin (satu), menjalankan aktiviti perjudian (satu), dan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah (satu).

Menerusi Operasi Benteng, sebanyak 151 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan seorang tekong ditahan manakala lima kenderaan darat juga dirampas.

Related posts

Leave a Comment