PKPDB penjara Alor Setar

PUTRAJAYA : Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) Secara Pentadbiran di kawasan Penjara Alor Setar selama 14 hari, bermula 12.01 tengah malam, 6 Oktober ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan hari ini berkata, pelaksanaan itu susulan peningkatan kes Covid-19 di kawasan berkenaan.

PKPDB secara pentadbiran itu turut meliputi kuarters kakitangan penjara.

Pelaksanaan PKPDB, bagi membendung jangkitan dan penularan Covid-19 dalam kawasan tersebut serta membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan.

Sepanjang tempoh itu juga, Ismail Sabri berkata, sebarang pergerakan keluar dan masuk melibatkan kawasan itu, termasuk lawatan oleh keluarga tahanan adalah tidak dibenarkan.

Ismail Sabri juga memaklumkan , Taskforce Ops Pematuhan semalam 3 Oktober menyaksikan 433 individu ditahan kerana ingkar PKP.

Daripada jumlah itu, 345 individu telah dikompaun, 60 direman dan 28 dijamin.

Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka (157), aktiviti dalam pub/kelab malam (126), gagal menyediakan peralatan/rekod butiran diri (49), penjarakan fizikal (46), aktiviti perjudian (36), menggaji warga asing tanpa permit yang sah (18), serta tangkapan pendatang asing tanpa izin (1).

Mengenai kawalan sempadan negara, Ismail Sabri berkata, Op Benteng telah berjaya melakukan tangkapan yang melibatkan 76 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 1 penyeludup.

Daripada jumlah itu, beliau berkata, pasukan ATM Rejimen Pertama Kor Armor Diraja berjaya menahan 27 PATI atas kesalahan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah, serta cuba keluar dari Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan di sekitar Hotel Tiara, Desaru, Bandar Penawar, Johor.

Berkenaan kuarantin wajib, Ismail Sabri berkata, sehingga 3 Oktober 2020, seramai 40,607 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

Daripada jumlah itu, beliau berkata, seramai 9,138 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 106 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan.

Related posts

Leave a Comment