Detik bersejarah umat Islam

DETIK bersejarah bagi umat Islam seluruh dunia selepas lebih enam bulan sekatan ibadat umrah dikuat kuasakan berikutan penularan wabak Covid-19. Akhirnya Masjidilharam membuka pintunya kepada kumpulan jemaah pertama pada hari ini, Ahad 4 Oktober.

Kumpulan pertama itu dibenarkan masuk ke Masjidilharam mulai pukul 6 pagi (waktu tempatan) selepas membuat permohonan melalui aplikasi I’tamarna yang disediakan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Arab Saudi mengambil langkah-langkah drastik bagi memerangi penularan wabak sejak pertengahan Mac lalu, dengan menggantung pelaksanaan ibadat umrah dan solat di Masjidilharam serta mengehadkan jumlah jemaah haji tahun ini.

Kerajaan Arab Saudi turut menggantung penerbangan antarabangsa dan melaksanakan perintah berkurung bagi mencegah peningkatan kes pandemik itu.

Bagi menampung kuota 6,000 jemaah yang dibenarkan setiap hari, Kementerian Haji dan Umrah menyediakan lima lokasi pertemuan berasingan termasuk di Al-Gaza, Ajyad dan Al-Shasha, bagi membolehkan jemaah berkumpul dan bersama petugas kesihatan profesional menaiki bas ke Masjidilharam .

Kumpulan jemaah pertama itu disambut dengan pelbagai kemudahan kesihatan yang ditempatkan di pintu masuk dan di dalam Masjidilharam termasuk mesin pengimbas haba bagi memantau suhu badan dan mengeluarkan amaran, jika perlu.

Kira-kira 1,000 petugas dilatih bagi memantau proses umrah.

Masjidilharam juga melalui proses pembersihan dan pembasmian kuman sebanyak 10 kali sehari.

Sistem hawa dinginya juga dilengkapi dengan teknologi pembersihan ultraungu manakala pembersihan sistem penapisan udara dijadualkan sembilan kali sehari.

Kawasan mataf yang terletak di sekitar Kaabah yang boleh memuatkan sehingga 2.5 juta jemaah dipilih sebagai lokasi bagi umat Islam menjalani ibadat umrah kali ini.

Ruang khusus sebagaimana disediakan untuk jemaah yang melaksanakan ibadat haji pada Ogos lalu turut diperkenalkan bagi memudahkan akses sepanjang mereka berada di Masjidilharam

Related posts

Leave a Comment