Positif pada hari pengundian

CALON Barisan Nasional (BN) bagi N.03 DUN Pitas, Sufian Abd. Karim mengesahkan beliau positif Covid-19 dan memohon individu yang bersamanya mengambil langkah berjaga-jaga.

“Saya, Sufian Abd. Karim, calon BN bagi N.03 DUN Pitas baru saja mendapat keputusan test covid19 dan telah disahkan positif Covid-19,” katanya dalam hantaran di Facebook pada hari pengundian hari ini, 26 September.

Sufian turut memohon maaf kepada pengundi, petugas, jentera, rakan dan keluarga yang banyak membantunya ketika kempen atas perkara itu.

“Mohon kepada semua yang pernah bersama saya mengambil langkah berjaga-jaga dan sewajarnya dengan membuat saringan. Maaf atas segala kesulitan. Semoga ia tidak mematahkan semangat kita dalam perjuangan ini,” katanya.

Sebelum ini beberapa ahli politik mengesahkan diri mereka positif Covid-19 antaranya Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Mohd Razlan Rafii.

Mereka merupakan antara pemimpin UMNO yang telah berada di Sabah sejak beberapa hari lepas bagi menyertai Jentera Pilihan Raya BN sempena Pilihan Raya Negeri (PRN).

Antara yang diminta menjalani kuarantin kerana menjadi kontak rapat Razlan pula termasuklah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden UMNO Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung BN Annuar Musa.

Kawasan N03 Pitas menyaksikan pertandingan lima penjuru antara Sufian dengan calon Warisan, Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Pertubuhan Kebangsaan Bersatu Sabah (Usno) dan calon bebas.

Related posts

Leave a Comment