“Sehingga dititah menghadap“

PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Muhyiddin Yassin menegaskan, sehingga kini, beliau masih lagi sebagai Perdana Menteri melainkan dititah menghadap oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi memaklumkan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim sudah memenuhi kehendak Perlembagaan Persekutuan untuk menukar kerajaan.

Bahkan, tegas Muhyiddin, sekiranya beliau sendiri sudah mengemukakan surat peletakan jawatan atau menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen, maka situasinya akan berbeza sama sekali.

Menurut Perdana Menteri, beliau tidak mendapat sebarang pemakluman dititah menghadap Yang di-Pertuan Agong berhubung perkara tersebut.

“Kalau itulah keadaannya, maka ia salah satu dari apa yang diperuntukan dalam Perlembagaan.

“Maka saya tidak lagi berada di situ sebagai Perdana Menteri dan saya serah surat untuk letak jawatan dan kalau Yang di-Pertuan Agong terima maka kosong jawatan itu.

“Atau ada perkara kedua, kalau saya fikirkan situasi di negara kita sebegini rupa bukan kerana saya mahu kekal sebagai Perdana Menteri tetapi ikut peruntukan dalam Perlembagaan maka saya akan ajukan cadangan pada Yang di-Pertuan Agong untuk Parlimen ini dibubarkan dan diperkenan untuk bubarkan maka Parlimen Malaysia bubar,” katanya pada Majlis Rapat Umum dan Semarak Perikatan Nasional (PN) di Dewan Pisompuruan, Tambunan pada Jumaat.

Dalam masa sama Pengerusi PN itu menjelaskan, kedudukannya sebagai Perdana Menteri adalah seiring dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan.

Muhyiddin juga memberitahu, beliau ada merujuk mengenai isu jawatannya itu kepada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun yang mengesahkan beliau masih Perdana Menteri.

“Saya tidak mengatakan bahawa saya menolak apa yang ada dalam Perlembagaan, saya adalah pemimpin bertanggungjawab dan saya patuh pada Perlembagaan.

“Saya berdiri di Tambunan ini kerana saya masih Perdana Menteri dan saya tidak gila kuasa,” tegas Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

Related posts

Leave a Comment