Saya masih PM – Muhyiddin

PERDANA Menteri, Muhyiddin Yassin menegaskan kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih teguh dan beliau masih Perdana Menteri yang sah.

Dalam satu kenyataan media, beliau berkata, kenyataan Presiden PKR, Anwar Ibrahim yang mendakwa mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan bersifat dakwaan semata-mata.

“Saya mengambil maklum kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa beliau mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan.

“Dakwaan ini hendaklah dibuktikan menurut proses dan kaedah yang ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan. Tanpa melalui proses tersebut, kenyataan Datuk Seri Anwar hanyalah dakwaan semata-mata.

“Sehingga dibuktikan sebaliknya, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih berdiri teguh dan saya adalah Perdana Menteri yang sah,” katanya.

Beliau dalam pada itu meminta rakyat bertenang menghadapi situasi berkenaan dan yakin isu itu akan diatasi dengan baik mengikut proses undang-undang dan Perlembagaan.

Bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad pula menyatakan beliau mengambil pendekatan untuk tidak mencampuri konflik politik yang dicetuskan oleh Presiden Presiden PKR itu yang mendakwa kononnya mendapat majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baharu.

Ahli Parlimen Langkawi itu bagaimanapun memberitahu, beliau akan memantau pergerakan dan langkah Anwar.

“Kita harus tunggu untuk lihat apakah ini satu lagi episod membuat tuntutan yang tidak dapat dibuktikan,” katanya dalam siaran langsung pada persidangan Nutanix’s Asean CIO menerusi aplikasi Zoom di sini, pada Rabu.

Sementara itu Presiden Pas, Abdul Hadi Awang menegaskan kesemua 18 ahli Parlimen parti itu menyokong penuh Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri yang sah mengikut Perlembagaan.

Beliau berkata, pada masa yang sama, Pas akan terus memperteguhkan semangat setia kawan dalam Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

“Saya mengajak seluruh rakyat untuk bersatu hati mendukung usaha kerajaan PN dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara secara bersama,” katanya dalam satu kenyataan yang dikongsi di Facebooknya di sini, pada Rabu.

Related posts

Leave a Comment