85 peratus guna 600kWj terkecuali

PUTRAJAYA 29 Feb. – Lebih 85 peratus pengguna domestik yang penggunaan elektrik bulanannya sebanyak 600 kilowatt jam (kWj) dan ke bawah akan terus menikmati cukai perkhidmatan sifar bagi bil elektrik mereka.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican berkata, hanya isi rumah domestik yang menggunakan lebih daripada 600 kWj sebulan akan terlibat dengan kenaikan cukai perkhidmatan sebanyak lapan peratus berkuat kuasa 1 Mac.

“Kami ingin menjelaskan bahawa pada masa ini, cukai perkhidmatan (enam peratus) dikenakan ke atas segmen ini (penggunaan elektrik lebih daripada 600 kWj sebulan), yang mana segmennya agak kecil,” katanya pada taklimat bersama pengarang semalam.

Johan Mahmood berkata, pengguna elektrik komersial dan industri juga tidak akan dikenakan cukai perkhidmatan, kerana selama ini mereka tidak dikenakan cukai itu.

Begitu juga, cukai perkhidmatan tidak akan dikenakan ke atas bil air, katanya.

Kerajaan dijadual menaikkan cukai perkhidmatan kepada lapan peratus mulai 1 Mac 2024, daripada enam peratus pada masa ini.

Bagaimanapun, kenaikan itu tidak termasuk perkhidmatan seperti makanan dan minuman (F&B), telekomunikasi, ruang parkir kereta dan perkhidmatan logistik yang merangkumi penghantaran barangan.

Ditanya sama ada fisioterapi di bawah Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016 (Akta 774) boleh menikmati pengecualian cukai perkhidmatan seperti pengamal perubatan tradisional dan komplementari (TCM) yang berdaftar di bawah Akta T&CM 2016 (Akta 775), Johan Mahmood berkata kerajaan masih sedang mengkaji perkara berkenaan.

“Kami cuba untuk konsisten berhubung rawatan untuk jenis perkhidmatan yang serupa, tetapi kami belum memuktamadkan lagi kajian itu,” katanya.

Katanya, kenaikan dua peratus cukai perkhidmatan itu dijangka membawa tambahan hasil RM3 bilion kepada kerajaan tahun depan.

Mengenai sama ada kerajaan akan mempertimbang untuk melaksanakan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) bagi meningkatkan hasil negara, beliau berkata ketika ini bukan masa yang sesuai untuk pelaksanaan semula cukai berkenaan.

“Kerajaan akan meneruskan (usaha) mengurangkan defisit fiskal dengan memperkenalkan langkah-langkah secara beransur-ansur, yang boleh meningkatkan hasil kerajaan dan dalam masa yang sama mengurangkan kesan kepada rakyat dan perniagaan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment