Filipina mendahului Indonesia

INDONESIA mencatatkan 3,507 kes positif baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan kini 225,030 kes.

Data di laman sesawang rasmi pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, menunjukkan sebanyak 99,634 pesakit masih dalam pemantauan virus berkenaan.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam 14 September sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 124 lagi kematian disahkan, menjadikan jumlah kumulatif kini 8,965 orang.

Jakarta, yang dikenakan semula peraturan Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) selama dua minggu bermula semalam, masih mencatatkan kes positif keseluruhan tertinggi iaitu 56,175 kes, dengan tambahan 1,076 kes baharu.

Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 2,832 orang, diikuti Jakarta (1,450), Jawa Tengah (1,165), Kalimantan Selatan (390), Sulawesi Selatan (383) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

FILIPINA setakat pukul 4 petang ini merekodkan 3,544 kes baharu Covid-19  menjadikan jumlah keseluruhan kes yang direkodkan meningkat kepada 269,407.

Menurut Jabatan Kesihatan (DoH), jumlah kematian yang dilaporkan hari ini adalah sebanyak 34 kes ynag membawa kepada jumlah keseluruhan 4,663 kematian.

Sebanyak 395 pesakit dilaporkan sembuh hari ini dan secara tidak langsung membawa kepada peningkatan kes sembuh 207,352. Kes aktif pula 57,392.

SINGAPURA mengesahkan 34 kes baharu Covid-19 dengan sifar kes dalam komuniti untuk dua hari berturut-turut.

Data Kementerian Kesihatan (MoH) menunjukkan sebanyak enam kes import dikesan dan mereka diberikan Notis Duduk di Rumah sebaik tiba di Singapura. 

Kes terbaharu ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di republik itu mencecah 57,488. Sebanyak 56,802 kes pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan setakat 12 tengah hari 14 September, 53 kes masih lagi berada di hospital.

Setakat ini, 27 orang meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 di republik ini.

Dua kluster baharu dikenal pasti semalam di Jurong Penjuru Dormitory 1, 58 Penjuru Place dan Jurong Penjuru Dormitory 2, 36 Penjuru Place.

THAILAND pada Selasa, 15 September melaporkan lima kes baharu, semuanya kes import yang membawa kepada jumlah keseluruhan 3,480 kes.

Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), melaporkan kes baharu itu melibatkan warganegara British, Iran dan Thailand yang tiba dari Bahrain, Jepun, Pakistan, Qatar dan Arab Saudi.

Daripada 3,480 kes yang dilaporkan hari ini, sebanyak 3,315 atau 95.26 peratus telah pulih di mana 107 masih di hospital. Jumlah kematian kekal 58 sejak 2 Jun.

Related posts

Leave a Comment