KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan bekas Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin, dilantik sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Agung parti, Hamzah Zainuddin berkata, pelantikan itu dibuat oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu.
Hamzah berkata, pelantikan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada 7 September, 2020.
Turut dilantik sebagai MPT Bersatu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Mohd Redzuan Md Yusof, dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Dr Abdul Latiff Ahmad.
Selain itu, Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Wan Saiful Wan Jan dilantik sebagai Ketua Penerangan Bersatu yang baharu, menggantikan Dr Mohd Radzi Jidin Md Jidin, yang kini memegang portfolio Pengerusi Biro Latihan & Pengkaderan.