Rakyat lebih 20 negara dilarang

KERAJAAN tidak membenarkan rakyat dari negara yang mencatatkan kes positif Covid-19 melebihi 150,000 untuk masuk ke negara ini mulai 7 September ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata keputusan tersebut dibuat setelah berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Imigresen (JIM),

Perintah sekatan itu akan berkuatkuasa bersekali dengan tiga buah negara iaitu Indonesia, India dan Filipina yang diumumkan pada Selasa lalu.

Beliau berkata antara negara dalam senarai sekatan itu ialah Amerika Syarikat, Brazil, Perancis, United Kingdom (UK), Sepanyol, Itali, Arab Saudi, Rusia dan Bangladesh.

Jelasnya, sekatan itu turut merangkumi mereka yang berstatus pemastautin tetap (PR), Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), ekspatriat termasuk pemegang pas lawatan profesional (PVP) dan pemegang pas residen.

“Bagaimanapun, jika ada sebarang kecemasan untuk mereka masuk ke Malaysia, ia bergantung kepada kelulusan yang dikeluarkan oleh JIM,” katanya.

Tambahnya, KKM akan mengeluarkan senarai penuh negara yang disekat masuk ke Malaysia pada minggu hadapan.

Setakat petang ini, laporan Johns Hopkins University menunjukkan lebih 20 negara mencatatkan 150,000 dan lebih kes jangkitan Covid-19 didahului Amerika Syarikat yang merekodkan 6,114,768 kes.

Ini diikuti Brazil 3,997,865, India 3,853,406, Rusia 1,001,965, Peru 657,129, Colombia 633,321, Afrika Selatan 630,595, Mexico 610,957, Sepanyol 479,554, Argentina 439,172 dan Chile 414,739.

Turut terlibat Iran 378,752, United Kingdom 340,929, Perancis 331,060, Bangladesh 317,528, Arab Saudi 317,486, Pakistan 297,014, Turki 273,301, Itali 271,515, Jerman 247,411, Iraq 242,284, Filipina 226,440 dan Indonesia 180,646.

Related posts

Leave a Comment