10 kes import, satu tempatan

PUTRAJAYA: Sebelas kes baharu Covid-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas dengan 10 kes import dan satu kes penularan tempatan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Perkembangan itu menjadikan  jumlah terkumpul kes positif setakat ini sebanyak 9,317 kes sementara jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 sebanyak 154 kes.

Dalam kenyataannya, Dr Noor Hisham berkata daripada 10 kes import itu, enam merupakan rakyat Malaysia dan empat lagi adalah warga asing.

Lapan kes import tersebut adalah dari India (7 kes dilaporkan di Kuala Lumpur dan 1 di Selangor) serta masing-masing satu dari Indonesia (dilaporkan di Selangor) dan Qatar (dikesan di Kuala Lumpur).

Kes tunggal penularan tempatan pula melibatkan rakyat Malaysia di Sarawak yang dikesan melalui saringan prapembedahan di Hospital Umum Sarawak.

Dr Noor Hisham berkata bagi tempoh sama hingga 12 tengah hari 29 Ogos terdapat lapan kes pulih menjadikan jumlah kumulatif pesakit yang pulih sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19 seramai  9,038 kes atau 97 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Hingga kini terdapat lapan kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di unit rawatan rapi dengan enam memerlukan bantuan pernafasan dan tiada kes kematian dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian sebanyak 125 kes 

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan (KKM) telah menjalankan siasatan mengenai kes positif Covid-19 dalam kalangan anggota di Hospital Angkatan Tentera Kem Terendak, Melaka selepas tiga kes dikesan di hospital berkenaan.

“Berdasarkan maklumat yang diperoleh, pihak Angkatan Tentera Kem Terendak bersama pihak Jabatan Kesihatan Negeri Melaka telah membuat penilaian risiko ke atas anggota,” katanya.

Beliau berkata setakat hari ini (29 Ogos), seramai 109 orang telah dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada kes positif tersebut dan mereka telah disaring dan kini menunggu keputusan ujian.

Related posts

Leave a Comment