51 dikompaun, 28 direman

MASIH ramai yang mengingkari arahan di bawah penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), dengan melakukan pelbagai kesalahan sehingga mereka ditahan dan dikompaun.

Dalam kenyataannya mengenai perkembangan PKPP hari ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata,  79 orang ditahan di mana 51 dikompaun manakala 28 lagi direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk aktiviti dalam pub atau kelab malam, gagal menyediakan peralatan atau catitan keluar masuk, tidak memakai pelitup muka, premis beroperasi lebih masa, private party serta aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal,” katanya.

Sementara itu, seramai 19,218 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa sejak 24 Julai hingga semalam dan mereka telah ditempatkan di 70 hotel dan lima Institut Latihan Awam (ILA).

Daripada jumlah itu, seramai 8,464 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, 56 lagi telah dihantar ke hospital untuk rawatan  dan 10,698 individu didiscaj serta dibenarkan pulang.

Mereka telah pulang dari 32 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata Polis Diraja Malaysia telah mengadakan 64 sekatan jalan raya Operasi Benteng dan memeriksa 30,120 kenderaan semalam bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin khususnya di lorong-lorong tikus. 

Mengenai operasi sanitasi awam pula, sebanyak 11 operasi diadakan di tujuh negeri semalam iaitu Melaka, Sabah, Sarawak, Kedah, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur melibatkan 83 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan 135 anggota daripada agensi lain. 

Sementara itu, penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 690 premis perniagaan termasuk peruncit (504), pemborong (157) dan pengilang (29).

KPDNHEP turut melakukan 1,024 pemeriksaan khas pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP dan mendapati 1,007 premis mematuhi SOP yang ditetapkan manakala 17 premis diberi nasihat.

Related posts

Leave a Comment