Akhirnya menteri dikompaun

SETELAH timbul kontroversi mengenai Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Dr Khairuddin Aman Razali tidak mematuhi kuarantin selepas pulang dari luar negara, akhirnya Ahli Parlimen Pas itu dikompaun RM1,000 atas kesalahan melanggar perintah kuarantin.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataannya, berkata Mohd Khairuddin melakukan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 [Akta342].

“Ekoran kegagalannya mematuhi peraturan mengikut akta berkenaan, Pegawai Diberi Kuasa (PDK) sudah mengeluarkan kompaun sebanyak RM1,000 kepada beliau pada 7 Ogos lalu.

“Beliau sudah membayar kompaun berkenaan,” kata KKM menerusi satu kenyataan hari ini.

Perkara itu menjadi kecoh selepas Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mendedahkan di Parlimen bahawa Khairuddin pada Julai lalu berkunjung ke Turki dan telah melakukan pelanggaran SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Teresa mendakwa Khairuddin ke Turki pada 3 Julai lalu dan pulang ke tanah air pada 7 Julai sebelum ke Parlimen pada 13 Julai.

Sebagai menjawab dakwaan itu, Khairuddin berkata beliau menjalani ujian Covid-19 sebanyak tiga kali iaitu ketika tiba di Malaysia dari Turki pada 7 Julai, 13 hari kemudian, dan baru-baru ini kerana mahu menghadiri majlis di Istana Negara, di mana hasil ujian menunjukkan negatif.

Berkaitan isu ini juga Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan bahawa semua kes berkaitan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan Covid-19 akan disiasat.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata sekiranya didapati melanggar SOP atau melakukan kesalahan, tiada sesiapa akan terlepas daripada tindakan undang-undang.

“Setiap orang tidak bebas dan mengatasi undang-undang. Menteri, timbalan menteri, kalau mereka melakukan kesalahan, langgar SOP pasti akan dikenakan tindakan.

“Hukuman terserah kepada Kementerian Kesihatan sama ada nak kompaun dan sebagainya terserah kepada mereka,” katanya.

Related posts

Leave a Comment